Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 25 MEI 2026 : Kerajaan Pahang memohon pihak berkaitan dapat mempertimbangkan permohonan untuk memberi pengecualian sepenuhnya atau penambahan kuota petrol subsidi kepada penduduk Pulau Tioman susulan isu kuota petrol subsidi di pulau berkenaan yang didakwa tidak lagi mencukupi untuk menampung keperluan harian masyarakat setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, kuota semasa sebanyak 1,000 liter seminggu dilihat tidak lagi mencukupi untuk menampung keperluan harian penduduk setempat khususnya melibatkan sektor pengangkutan laut dan aktiviti ekonomi masyarakat pulau.
Beliau berkata, faktor geografi Pulau Tioman yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan bot menjadikan petrol subsidi sebagai keperluan asas utama penduduk.
“Sebahagian besar kampung di pulau ini hanya boleh dihubungi melalui laluan laut termasuk perjalanan ke Kampung Tekek yang menjadi pusat utama urusan pentadbiran, perkhidmatan dan ekonomi masyarakat setempat.
“Keadaan ini menyebabkan penduduk amat bergantung kepada bekalan petrol subsidi untuk urusan harian seperti mendapatkan bekalan makanan, menghantar anak ke sekolah, menjalankan aktiviti perniagaan serta mendapatkan rawatan kesihatan,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya lagi, permohonan rasmi berhubung perkara itu telah dikemukakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan Tioman kepada pihak kerajaan bagi mempertimbangkan pengecualian khas atau penambahan kuota petrol subsidi untuk penduduk pulau berkenaan.
Katanya, berdasarkan laporan penggunaan semasa, keperluan diesel ketika musim monsun merekodkan penggunaan minimum sekitar 2,700 liter seminggu manakala pada musim puncak pelancongan penggunaan boleh mencecah lebih 15,000 liter seminggu.
“Peningkatan aktiviti ekonomi serta pertambahan keperluan harian masyarakat setempat menjadikan kuota sedia ada tidak lagi relevan dengan situasi semasa.
“Sebagai destinasi pelancongan utama negara, Pulau Tioman memerlukan pertimbangan khas daripada kerajaan agar kebajikan penduduk dan kelangsungan ekonomi tempatan terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri berharap pihak berkaitan dapat mempertimbangkan permohonan tersebut dengan segera bagi memastikan kesejahteraan komuniti pulau tidak terjejas.
Permohonan berkenaan difahamkan telah dikemukakan pada 19 Mei lalu bersama laporan jualan petrol subsidi tahun 2025 sebagai dokumen sokongan rasmi. -PAHANGMEDIA

