Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 18 MEI 2026 : Seorang penceroboh tanah Kerajaan Negeri dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas gagal membayar denda RM200,000 yang dikenakan terhadapnya kerana menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran di Kampung Permatang Perawan, Pekan, hampir tiga tahun lalu.
Tertuduh, Cheong Chin Chong, sebelum itu didapati bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara.
Hakim Tuan Azman Mustapha menjatuhkan hukuman denda tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan dua buah jengkaut miliknya dilucut hak kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Bagaimanapun tertuduh yang gagal menjelaskan denda terbabit kemudiannya diperintahkan menjalani hukuman penjara di Penjara Penor, di sini, selama 12 bulan.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menduduki tanah Kerajaan Negeri tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri pada 8 Ogos 2023 di Kampung Permatang Perawan, Daerah Pekan dengan cara membina laluan jalan menuju ke kawasan permit pembalakan di situ.
Tertuduh ditahan anggota penguat kuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) ketika sedang menjalankan aktiviti pencerobohan menggunakan dua buah jengkaut di kawasan terbabit.
Kes berprofil tinggi itu dibicarakan selama satu tahun dua bulan bermula Mac 2025 dengan seramai sembilan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding berlangsung.
Pendakwaan dikendalikan Encik Muhammad Taqiuddin Azizan bersama Encik Muhammad Faisal Zaini dan Encik Izatul Fairus Loso dari UPNP manakala tertuduh diwakili peguam Encik Kong Yit Har.
Semasa penghujahan, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan setimpal memandangkan tindakan tertuduh bukan sahaja menyebabkan kerosakan besar terhadap struktur tanah di kawasan serbuan, malah mengakibatkan ketirisan hasil kepada kerajaan negeri daripada kutipan permit dan hasil berkaitan tanah.
Menurut pihak pendakwaan, hukuman maksimum yang diperuntukkan di bawah akta berkenaan iaitu denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jelas menunjukkan keseriusan jenayah pencerobohan tanah di negara ini. -PAHANGMEDIA

