Oleh: Ain Nadhirah Basha
RAUB, 18 MEI 2026 : Kerajaan Pahang berhasrat untuk menjadikan Bukit Fraser sebagai model pengurusan ekosistem tanah tinggi terbaik di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man, dalam memastikan hasrat tersebut tercapai Kerajaan Negeri telah menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) bagi usaha pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan semula jadi di negeri ini.
“Bukit Fraser merupakan antara landskap semula jadi yang amat bernilai di Negeri Pahang. Ia bukan sahaja dikenali kerana keindahannya yang menenangkan, tetapi juga kerana fungsinya sebagai sebuah ekosistem yang menyokong kehidupan secara menyeluruh.
“Kawasan ini menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna, berfungsi sebagai kawasan tadahan air, serta memainkan peranan penting dalam menstabilkan iklim melalui penyimpanan karbon dan kawalan suhu.
“Menyedari kepentingan ini, Kerajaan Negeri Pahang telah mengambil langkah melalui penubuhan Perbadanan Taman Negeri Pahang untuk menerajui usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan-kawasan semula jadi secara lebih tersusun dan berterusan di negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Mewah Permata Negeri Pahang (Jewel Of Pahang) Fraser’s Hill di Wnydham Garden Shahzan Fraser’s Hill hari ini.
Turut hadir, Pengerusi CIMB Islamic Bank Berhad, Datin Azlina Mahmad; dan Pengerusi WWF Malaysia, YBhg. Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Tambah beliau usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri bukan sahaja tertumpu kepada perlindungan alam, tetapi juga kepada memastikan pembangunan dilaksanakan secara lestari dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurut beliau lagi, pelancaran Buku Mewah Permata Negeri Pahang: Fraser’s Hill yang ini juga merupakan satu hasil penting dalam memperkasakan khazanah alam di negeri ini.
“Ia merakamkan bukan sahaja keindahan Bukit Fraser, tetapi juga hasil kerja lapangan, dapatan penyelidikan, serta usaha pemuliharaan yang telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak. Buku ini juga menjadi simbol kepada kerjasama yang telah terjalin, serta peringatan bahawa usaha memelihara alam ini memerlukan komitmen bersama,” katanya.
Beliau turut berharap buku yang dilancarkan ini dapat dijadikan sumber rujukan bernilai dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan kepentingan memelihara khazanah alam.
“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam usaha memelihara dan mempromosikan khazanah alam semula jadi serta warisan Negeri Pahang agar keindahan dan keunikannya terus dihargai oleh generasi akan datang melalui penerbitan seperti Buku Mewah Permata Negeri Pahang (Jewel Of Pahang) Fraser’s Hill ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

