Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 MEI 2026 : Kerajaan Negeri melihat Kuliah Farmasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan mempunyai potensi besar untuk menjadi antara penggerak utama pembangunan hab industri farmaseutikal negeri menerusi kerjasama strategik antara universiti, industri dan kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, sektor farmaseutikal, bioteknologi dan penyelidikan kesihatan mempunyai potensi besar sebagai pemacu ekonomi masa hadapan negeri.
“Saya melihat UIAM Kuantan khususnya Kuliah Farmasi mempunyai potensi besar untuk menjadi antara penggerak utama pada pembangunan hab industri farmastikal di negeri Pahang melalui kerjasama strategi antara universiti, industri dan kerajaan.

“Selain itu, pembangunan hab penyelidikan bioteknologi juga perlu terus diperkasakan selaras dengan perkembangan teknologi kesihatan moden. Saya yakin dengan kepakaran akademik, fasiliti penyelidikan serta sokongan pelbagai pihak, kuliah farmasi mampu memainkan peranan penting dalam menarik kerjasama industri, program strategik, serta pembangunan bakat tempatan dalam bidang sains kesihatan dan bioteknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Perasmian Jubli Perak Kuliah Farmasi UIAM bertemakan ‘Membentuk Masa Hadapan: 25 Tahun Inovasi dan Integriti Ke Arah Kecemerlangan Ummah’ di UIAM Kuantan di sini.
Hadir sama Pegawai Daerah Kuantan, YH. Dato’ Mohd Faizal Jaafar, Timbalan Rektor UIAM, Prof. Dr. Mohamed Aslam Mohamed Haneef; dan Dekan Kuliah Farmasi UIAM Kuantan, Assoc. Prof. Dr. Nor Ilyani Binti Mohamed Nazar.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 25 tahun penubuhannya, Kuliah Farmasi UIAM berjaya membuktikan peranannya sebagai institusi pendidikan farmasi unggul dan disegani bukan sahaja di Pahang malah di peringkat nasional serta antarabangsa.
Katanya, institusi itu bukan sekadar melahirkan ahli farmasi profesional, malah membentuk generasi ummah yang berilmu, berintegriti dan berjiwa masyarakat.
“Saya amat berbangga melihat Kuliah Farmasi UIAM terus melahirkan graduan farmasi yang bukan sahaja cemerlang dari sudut ilmu dan kemahiran profesional malah turut dibentuk dengan nilai integriti, ihsan dan keseimbangan spiritual selaras dengan falsafah pendidikan Islam yang dibawa UIAM,” ujarnya.

Beliau turut memuji usaha penyelidikan yang dijalankan kuliah berkenaan khususnya dalam bidang herba dan biodiversiti tempatan yang dilihat mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada negeri.
Menurutnya, Pahang kaya dengan khazanah alam semula jadi dan kepelbagaian biodiversiti yang berpotensi diterokai bagi pembangunan produk farmaseutikal, nutraseutikal dan kesihatan berasaskan sumber tempatan.
“Penyelidikan seperti ini bukan sahaja penting untuk pembangunan ilmu dan inovasi malah mampu menghasilkan produk bernilai tinggi secara mampan dan saintifik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penglibatan aktif Kuliah Farmasi UIAM dalam program kesihatan komuniti juga amat signifikan dalam memastikan rakyat memperoleh akses kepada maklumat kesihatan yang tepat dan berkualiti selaras dengan Aspirasi Pahang 1st yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.- PAHANGMEDIA

