Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 16 MEI 2026 : Rompin muncul johan kategori daerah pada Pesta Pelita Raya Pahang 2026 bagi penganjuran kali kedua sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta hadiah iringan.
Naib johan dimenangi Temerloh yang membawa pulang RM7,000, manakala tempat ketiga menjadi milik Pekan dengan hadiah RM5,000 berserta hadiah iringan.
Bagi kategori homestay, johan dimenangi Homestay Hulu Cheka, Jerantut yang membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta hadiah iringan.

Naib johan pula dimenangi Homestay Sungai Pasu, Raub, manakala tempat ketiga menjadi milik Homestay Desa Murni, Temerloh dengan masing-masing membawa pulang RM3,000 dan RM2,000 berserta hadiah iringan.
Anugerah Undian Paling Popular dimenangi Jerantut menerusi jumlah “like” tertinggi di media sosial Tourism Pahang, sekali gus membawa pulang wang tunai RM500.
Empat daerah turut menerima Anugerah Khas Juri iaitu Raub, Pekan, Cameron Highlands dan Kuantan dengan setiap pemenang menerima RM500.
Selain itu, Lipis memenangi Anugerah Kreativiti dan Inovasi Terbaik, Jerantut memenangi Anugerah Pengisian Program Terbaik, manakala Maran menerima Anugerah Pencahayaan Terbaik dengan masing-masing membawa pulang RM1,000.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang yang telah menunjukkan komitmen, kreativiti dan semangat luar biasa sepanjang pertandingan.
Menurut beliau, program itu bukan sahaja mempromosikan pelancongan malah memperkukuh perpaduan masyarakat serta memelihara warisan budaya negeri.
“Tradisi seperti pemasangan pelita, gotong-royong kampung dan penglibatan komuniti perlu terus dipelihara supaya tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Malam Penghargaan Pesta Pelita Raya Pahang 2026 yang berlangsung di Kimstone Beach Hall & Event, Pantai Batu Hitam, di sini. – PAHANGMEDIA

