Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sedang menilai semula secara menyeluruh terhadap Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) di FELDA Keratong 7 bagi memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan dengan lebih tersusun dan berkesan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, projek tersebut kini dijenamakan semula di bawah skim Rumah Pahang.
“Kesemua projek ini telah dijenamakan semula di bawah skim Rumah Pahang, manakala urusan pemilihan pembeli dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) melalui sistem e-Perumahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ibam, YB Tuan Nazri Ahmad pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Tambahnya, hasil pemantauan teknikal yang dijalankan mendapati projek tersebut gagal memenuhi syarat yang telah ditetapkan di bawah Surat Setuju Terima (SST).
“Walau bagaimanapun, hasil pemantauan dan penilaian teknikal yang dijalankan mendapati bahawa projek Rumah Pahang FELDA Keratong 7 ini gagal memenuhi syarat yang telah ditetapkan di bawah Surat Setuju Terima (SST),” katanya.
Di samping itu, beliau menyatakan projek tersebut dalam proses pemilihan semula kontraktor baharu yang lebih berkelayakan serta mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
“Seperti yang sedia maklum, telah dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, ini adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri yang telah pun kita menamatkan (kontraktor) pada tarikh 10 September lalu.
“… dan didalam kerangka untuk diangkat semula dalam pemilihan kontraktor-kontraktor yang berkelayakan yang mempunyai faktor kewangan yang jelas dan insyaAllah dalam waktu terdekat akan diumumkan siapakah yang akan menggerakkan program-program yang telah dijalankan,” katanya. -PAHANGMEDIA

