Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membangunkan Pelan Induk Fasiliti Kesihatan Negeri Pahang bagi tempoh 20 tahun, meliputi tahun 2024 hingga 2045.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, pelan tersebut akan menjadi panduan utama dalam memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesihatan moden, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurut beliau, pelaksanaan pembangunan fasiliti kesihatan akan dibuat secara berfasa selaras dengan Rancangan Malaysia setiap lima tahun, berdasarkan keutamaan dan keperluan semasa.
“Pelan ini menjadi panduan pembangunan fasiliti baharu berdasarkan pertumbuhan penduduk serta perkembangan sosioekonomi, selain memastikan pelaksanaan dibuat secara tersusun mengikut keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Haji Md Zain pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Tambahnya, usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan turut melibatkan pembukaan fasiliti baharu, termasuk Klinik Kesihatan Bukit Ibam di Daerah Rompin yang dijangka mula beroperasi pada tahun 2026, tertakluk kepada proses penyerahan kepada KKM.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak RM57.63 juta telah diperuntukkan bagi Projek Menaik Taraf Klinik dan Fasiliti Daif di Negeri Pahang bagi tempoh 2023 hingga 2025.
“Sebanyak 139 fasiliti kesihatan telah menerima manfaat daripada peruntukan ini, melibatkan 76 klinik kesihatan dan 63 klinik desa. Inisiatif ini meningkatkan kualiti infrastruktur serta keselesaan pesakit dan petugas,” katanya.
Selain itu, sembilan pasukan perubatan bergerak turut digerakkan bagi memberi perkhidmatan kepada komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman.
“Sebanyak 46 pasukan pergigian bergerak turut beroperasi di sekolah-sekolah, manakala empat klinik pergigian bergerak ditempatkan secara strategik mengikut zon bagi memperluas capaian perkhidmatan kesihatan pergigian di seluruh negeri,” jelasnya. -PAHANGMEDIA

