Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Kerajaan Pahang menubuhkan Jawatankuasa Teknikal dan Task Force bagi mempercepat pelaksanaan Skim Tanah Rakyat FELDA Pahang (STRFP), termasuk penyelesaian isu pelan susun atur dan infrastruktur asas.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, jawatankuasa tersebut diterajui oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang susulan keputusan Mesyuarat Penyelarasan STRFP Bil. 2/2026 pada 16 April lalu.
“Jawatankuasa ini sedang melaksanakan gerak kerja intensif di lapangan bagi memastikan segala spesifikasi infrastruktur termasuk rizab jalan, sistem saliran perparitan serta utiliti mematuhi piawaian yang ditetapkan.
“Jawatankuasa ini turut melibatkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) sebagai penasihat bagi menentukan spesifikasi teknikal supaya fasa pembinaan berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Pahang berpendirian bahawa penyerahan lot tanah perlu disertakan dengan kesediaan infrastruktur yang mampan bagi memudahkan urusan pembangunan rumah oleh peserta pada masa akan datang.
Di samping itu, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri kini sedang memperhalusi kriteria kelayakan peserta bagi memastikan proses penawaran lot di bawah STRFP dilaksanakan secara telus dan teratur.
“Mengenai jangkaan penawaran, sukacita saya maklumkan bahawa kriteria kelayakan kini sedang diperhalusi dengan teliti bagi menjamin ketelusan proses. Segala ketetapan teknikal mengenai fasa penawaran ini akan dimuktamadkan melalui Bengkel Pemurnian STRFP pada 21 Mei 2026 ini.
“Proses ini akan digerakkan secara berfasa selaras dengan syor teknikal daripada bengkel tersebut bagi memastikan setiap peserta yang terpilih benar-benar layak dan prosesnya telus,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa tiada sebarang bayaran premium dibuat kepada Pejabat Daerah dan Tanah berkaitan skim berkenaan.
“Berhubung isu bayaran premium yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat Pulau Tawar, saya ingin tegaskan bahawa sehingga kini tiada sebarang bayaran premium dibuat kepada Pejabat Daerah dan Tanah.
“Proses pengeluaran notis hanya akan dilaksanakan setelah segala aspek teknikal dan perundangan dimuktamadkan sepenuhnya. Oleh itu, Kerajaan Negeri menasihatkan warga FELDA agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan sebarang dakwaan pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab,” katanya. -PAHANGMEDIA

