Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited mencari pelbagai alternatif bagi meningkatkan aksesibiliti ke Pulau Tioman termasuk menerusi pengangkutan udara.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pengangkutan serta agensi berkaitan bagi menilai pelbagai pilihan termasuk kebolehlaksanaan model pengangkutan udara ke pulau tersebut.
Katanya, pelaksanaan perkhidmatan penerbangan ke Pulau Tioman bagaimanapun tertakluk kepada aspek teknikal dan keselamatan penerbangan di bawah bidang kuasa CAAM.
“Berdasarkan maklum balas rasmi CAAM bertarikh 10 Disember 2025, penilaian teknikal yang telah dilaksanakan terhadap cadangan pengubahan jajaran landasan Padang Terbang Pulau Tioman dan mendapati bahawa cadangan tersebut tidak dapat memenuhi keperluan piawaian keselamatan penerbangan yang ditetapkan.
“Penilaian tersebut mengambil kira aspek perkhidmatan navigasi udara, piawaian aerodrom serta operasi penerbangan, dan mendapati wujud kekangan utama daripada faktor halangan semula jadi di sekitar kawasan padang terbang, termasuk topografi berbukit dan tanah tinggi yang menjejaskan ‘obstacle limitation surfaces’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Mohd Johari Hussain pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, cadangan pengubahan jajaran landasan itu masih belum dapat menyelesaikan isu asas berkaitan keselamatan operasi penerbangan di Pulau Tioman.
Katanya lagi, CAAM turut mengesyorkan supaya cadangan tersebut dikaji semula secara menyeluruh bagi memastikan sebarang pembangunan atau penaiktarafan landasan mematuhi sepenuhnya peraturan serta piawaian keselamatan penerbangan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap usaha memperkukuh akses laut menerusi penambahbaikan perkhidmatan feri dan pendekatan ‘multi-modal connectivity’.
“Jadi untuk maklumat tambahan, bermula 1 Mei 2026 perkhidmatan ‘speedboat’ juga telah bermula untuk membawa penumpang dari Jeti Teluk Gading ke Pulau Tioman. Ini adalah sebagai salah satu pilihan ataupun aksesibiliti ke Pulau Tioman,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

