Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Kerajaan terus memperkukuh pembangunan infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tras menerusi pelaksanaan pelbagai projek naik taraf dan penyelenggaraan melibatkan sistem saliran, longkang serta jalan ladang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sebanyak tujuh projek dengan peruntukan RM675,000 telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi kawasan berkenaan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut meluluskan 12 projek dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.8 juta khusus untuk manfaat penduduk DUN Tras.
“Bagi tahun 2026, Kerajaan Persekutuan turut menjangkakan pelaksanaan kerja penyelenggaraan saliran dan sungai melibatkan peruntukan RM50,000.
“Dalam masa sama, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM391,000 bagi kerja penyelenggaraan saliran dan sungai serta RM600,000 untuk penyelenggaraan jalan ladang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambah beliau, beberapa agensi utama turut terlibat dalam pelaksanaan projek pembangunan tersebut termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) serta Kementerian Kewangan (MOF).
“KKDW melaksanakan projek pembinaan parit baharu di Kampung Peranok. ICU pula menyediakan lima projek melibatkan pembinaan jalan, saliran dan longkang di lima lokasi, manakala MOF membantu melalui dua projek baik pulih jalan,” katanya.
Beliau menambah, pelaksanaan projek-projek berkenaan diharap dapat memperkemas sistem infrastruktur kampung secara menyeluruh, sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat serta meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat. -PAHANGMEDIA

