Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 13 MEI 2026 : Kerajaan Pahang akan memohon peruntukan sebanyak RM500 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan Hab Halal di kawasan Gebeng, sekali gus memperkukuh ekosistem industri halal negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, permohonan tersebut telah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Bilangan 5 Tahun 2026.
Menurut beliau, pembangunan itu melibatkan kawasan seluas 730 ekar yang kini masih berstatus tanah kosong (greenfield) dan akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh jangka panjang selama 15 tahun.
“Peruntukan ini adalah bagi tujuan pembangunan infrastruktur di kawasan seluas 730 ekar yang masih berstatus tanah kosong. Projek ini dirancang untuk dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 15 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB Dato’ Haji Andansura Rabu pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambah beliau, fasa pertama pembangunan akan melibatkan perbelanjaan sekitar RM30 juta dalam tempoh dua tahun sekiranya diluluskan Kerajaan Persekutuan.
“Fasa pertama dua tahun melibatkan perbelanjaan RM30 juta sekiranya kerajaan Persekutuan bersetuju,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kos pembangunan berpotensi berkurang sekiranya terdapat penyertaan pelabur luar sebagai co-investor, dengan pembiayaan dijangka ditanggung secara perkongsian antara kerajaan dan pihak swasta.
Menurutnya lagi, pembangunan Hab Halal Gebeng memerlukan pelaburan infrastruktur yang kukuh bagi memastikan kejayaan taman industri tersebut, termasuk kemudahan logistik seperti gudang dan storan cold chain.
Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan penglibatan pihak swasta dalam pembangunan lot industri dan fasiliti berkaitan, selain menyatakan terdapat minat awal daripada syarikat luar negara termasuk China untuk bekerjasama dalam projek berkenaan.
“Antara komponen penting dalam taman industri halal ini adalah storage cold chain. Terkini, sebuah syarikat dari China telah menyatakan minat untuk bekerjasama dan membawa masuk pelaburan ke kawasan ini,” katanya.
Usaha ini dijangka menjadikan Gebeng sebagai antara hab industri halal berimpak tinggi di rantau ini, selaras dengan aspirasi pembangunan ekonomi negeri. -PAHANGMEDIA

