Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 13 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menegaskan bahawa pengambilan penjawat awam negeri dilaksanakan secara adil, terbuka dan berasaskan merit selaras dengan syarat skim perkhidmatan serta keperluan semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chong Siang berkata, setiap pelantikan dibuat berdasarkan kelayakan calon, keperluan jawatan serta peruntukan undang-undang dan dasar yang sedang berkuat kuasa.
“Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan prinsip peluang yang adil, terbuka dan berasaskan merit dalam urusan pelantikan ke perkhidmatan awam negeri, tertakluk kepada syarat skim perkhidmatan, kelayakan, keperluan jawatan serta peruntukan undang-undang dan dasar semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, YB Dato’ Wong Tat Chee pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurutnya, setakat Mac 2026, seramai 234 rakyat bukan Melayu sedang berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Kerajaan Negeri Pahang, mewakili 2.32 peratus daripada keseluruhan 10,086 pegawai dan kakitangan.
Jumlah tersebut melibatkan perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta badan berkanun negeri.
Tambah beliau, pada tahun 2025 sebanyak 1,316 panggilan temu duga telah dibuat dengan 803 calon hadir, manakala tujuh calon bukan Melayu berjaya dilantik, melibatkan lima Orang Asli dan dua kaum India.
Beliau turut menjelaskan bahawa komposisi perkhidmatan awam negeri dipengaruhi oleh faktor penawaran calon, kesesuaian jawatan serta penyertaan pemohon daripada pelbagai kaum. -PAHANGMEDIA

