Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 13 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang telah kemukakan permohonan peruntukan sebanyak RM850 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi kerja-kerja pengawalan, pemuliharaan muara dan hakisan pantai di Negeri Pahang menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, permohonan tersebut melibatkan projek pengawalan hakisan pantai dan pemuliharaan muara sungai.
“Antara cadangan kerja tersebut ialah Projek Pemuliharaan Pantai Kampung Kuala Pontian, Daerah Rompin, Pahang; Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pulau Tioman, Daerah Rompin, Pahang; Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Cerating, Kuantan, Pahang; Projek Pemuliharaan Muara Sungai Balok, Daerah Kuantan, Pahang; Projek Pemuliharaan Muara Sungai Ular, Daerah Kuantan, Pahang; Projek Pemuliharaan Muara Sungai Bebar, Daerah Pekan, Pahang; dan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Kuantan, Daerah Kuantan, Pahang.
“Kerajaan Negeri Pahang mengharapkan kerjasama dan sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan dalam usaha menangani isu hakisan pantai, khususnya di kawasan pesisir pantai yang semakin kritikal dengan menyalurkan peruntukan bagi projek-projek pemuliharaan serta memberi khidmat teknikal,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 melalui Ecological Fiscal Transfer For Biodiversity Conservation (EFT) bagi melaksanakan kerja-kerja di Muara Sungai Pontian termasuk hakisan Pantai Kuala Pontian.
“Untuk langkah jangka pendek pula, kerajaan telah meluluskan sebanyak RM500,000 melalui peruntukan Ecological Fiscal Transfer For Biodiversity Conservation (EFT) kepada Jabatan Pengairan dan Saliran untuk melaksanakan kerja-kerja di Muara Sungai Pontian termasuk hakisan Pantai Kuala Pontian.
“Kerja-kerja ini dijangka akan dilaksanakan pada Jun 2026 nanti setelah proses perolehan selesai,” katanya.
Dalam pada itu, JPS turut mengemukakan permohonan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Pontian dan Hakisan Pantai Kuala Pontian.
“Sebagai langkah jangka panjang, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peruntukan dalam Rolling Plan Pertama dan Kedua (RP1&2), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM100 juta bagi cadangan pelaksanaan Kerja-Kerja Pemuliharaan Muara Sungai Pontian dan Hakisan Pantai Kuala Pontian.
“Jabatan Pengairan dan Saliran akan melaksanakan projek tersebut setelah menerima peruntukan tetapi sehingga kini, permohonan ini masih belum diluluskan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB Dato’ Sri Dr Haji Mohd Johari Hussain pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. -PAHANGMEDIA

