Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 13 MEI 2026 : Pahang terus mengukuhkan kedudukannya dalam pengurusan hutan secara mampan apabila menerima sijil pengurusan hutan berdasarkan Malaysia Criteria and Indicator for Sustainable Forest Management (MC&I SFM), sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bukan semua negeri menerima pengiktirafan tersebut namun Pahang berjaya memperolehnya hasil usaha berterusan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).
“Yang lebih pentingnya saya ingin nyatakan di sini bahawa kita berjaya mendapat pengurusan hutan yang terbaik kerana kita telah mendapat sijil pengurusan hutan berdasarkan Malaysia Criteria and Indicator For Sustainable Forest Management.
“Maknanya kita dapat sijil dan sijil ini diiktiraf dan bukan semua negeri dapat tapi negeri Pahang dapat. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pengarah Jabatan Perhutanan Negeri dan pegawai serta kakitangannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Tuan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambahnya, Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini sehingga kini adalah kira-kira 1.589 juta hektar iaitu 44.13 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri di mana Kerajaan Negeri melalui JPNP mengamalkan konsep Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management) dalam pengurusan hutan selain mengekalkan keluasan kawasan HSK di negeri ini.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri turut mengenal pasti kawasan berhutan lain di atas tanah kerajaan untuk dicadangkan sebagai HSK baharu dari semasa ke semasa.
“Sebagai contohnya baru-baru ini Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang Kali Ke-14 bertarikh 22 April lalu telah bersetuju untuk meluluskan permohonan pewartaan hutan tanah kerajaan dalam bahagian ekologi Central Forest Spine iaitu Hutan Simpan Bera dan Rizab Ramsar Bera sebagai Hutan Simpanan Kekal di Mukim Bera, Daerah Bera seluas 524 hektar,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa mana-mana kawasan HSK yang dinyahwartakan bagi tujuan pembangunan ekonomi dan kepentingan awam akan diganti dengan kawasan tanah kerajaan berhutan lain yang mempunyai nilai setara.
Mengulas soalan tambahan berkaitan keluasan hutan yang diluluskan untuk pembalakan pada tahun 2025, beliau berkata jumlah kelulusan tidak melebihi 11,500 hektar setahun seperti dibenarkan Majlis Tanah Negara.
“Alhamdulillah semua urusan pembalakan ini kita ikut peraturan kerana kita dipantau oleh pihak tertentu sebagai contohnya dipantau oleh Malaysia Timber Certification Cauncil ataupun MTCC. Kita tidak boleh buat sewenangnya berkenaan dengan urusan pembalakan ini kecuali yang buat secara haram, itu kita akan buat tindakan,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

