Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 MEI 2026 : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diingatkan untuk tidak membuat hebahan dan kenyataan tidak benar yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi Dewan Negeri Pahang.
YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, tindakan segelintir ahli Yang Berhormat membuat kenyataan dan hebahan luar memberi imej buruk kepada institusi dewan negeri telah mencetuskan persepsi negatif seolah-olah sidang dewan dijalankan secara berat sebelah dan tidak mengikut aturan.
“Saya agak terkejut sepanjang pemerhatian saya pada kebelakangan ini ada ahli Yang Berhormat yang membuat kenyataan dan hebahan luar yang memberi imej buruk kepada institusi Dewan Negeri.
“Tindakan tersebut telah mencetuskan persepsi seolah-olah persidangan ini dijalankan secara berat sebelah dan tidak mengikut aturan. Saya menafikan sekerasnya tohmahan tersebut. Segala penjelasan telah saya berikan sebelum ini,” katanya ketika berucap sebelum memulakan sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan ahli-ahli dewan supaya mematuhi peraturan berkaitan dokumen di bawah embargo termasuk laporan penyata kewangan yang dibentangkan pada hari terakhir persidangan.
“Perlu saya tegaskan bahawa penetapan tarikh embarga pada hari terakhir adalah amalan standard sejak lama. Ianya selaras dengan apa yang telah dilaksakan di beberapa Dewan Undangan Negeri yang lain,” ujarnya.
Katanya lagi, laporan berkenaan diagendakan sebagai kertas pembentangan dan bukannya untuk dibahaskan bagi memastikan maklumat tidak dipetik secara pramatang sebelum dibentangkan secara rasmi dalam dewan.
“Ingat, mengikut perkara 19 (4) Peraturan Mesyuarat Dewan Negeri, mana-mana Yang Berhormat membocorkan kertas mesyuarat sebelum tarikh embargo disifatkan telah menghina majlis,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan dakwaan bahawa penetapan tarikh embargo pada hari terakhir persidangan menghalang ruang perbahasan adalah tidak tepat sama sekali.
Beliau menjelaskan, sekiranya terdapat keperluan untuk sesuatu laporan dibahaskan, ahli-ahli dewan boleh mengemukakan usul rasmi mengikut Perkara 27(3) Peraturan Mesyuarat Dewan Negeri untuk dipertimbangkan dalam aturan mesyuarat akan datang.
Beliau turut memaklumkan bahawa selepas Laporan Kewangan dibentangkan dalam Sidang Dewan, isu kewangan berkaitan akan diperincikan di peringkat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri yang dipengerusikan oleh ADUN Inderapura.
Menurutnya, ahli-ahli Yang Berhormat mempunyai ruang untuk meneliti laporan berkenaan sebelum ia dibawa ke peringkat jawatankuasa dan hasil siasatan serta syor jawatankuasa itu kemudiannya akan dibentangkan semula dalam Dewan Negeri melalui Penyata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri.
Pada masa sama, beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila menerima laporan terdapat Ahli Jawatankuasa yang gagal menghadiri mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut.
“Saya tidak perlu menyebut nama di sini, biarlah Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negeri yang mengesahkannya. Namun, ini adalah persoalan integriti dan tanggungjawab,” katanya. -PAHANGMEDIA

