Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memandang serius berkaitan insiden penghinaan al-Quran yang berlaku sebelum ini dan tidak membiarkan perkara tersebut berlaku tanpa tindakan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, setiap agensi kerajaan termasuklah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan segera sebaik sahaja laporan rasmi diterima daripada orang ramai berhubung insiden itu.
“Maka tindakan telah diambil dan individu berkenaan telah dibawa ke muka mahkamah dan sekarang ini beliau sedang dibicarakan dan seandainya sabit kesalahan dia tetap akan mendapat hukuman yang setimpal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, YB. Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramli dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, insiden berkenaan amat mendukacitakan bukan sahaja kepada Kerajaan Negeri, malah seluruh rakyat Pahang yang selama ini hidup dalam suasana saling menghormati antara agama dan kaum.
“Sewajarnya perkara ini tidak berlaku bagi rakyat di negeri Pahang, bagi mereka yang menganut apa-apa agama sekali pun dan berlatar belakang apa bangsa sekali pun kerana perkara ini telah kita tuntaskan secara bersama. Sebagai ataupun selaku rakyat Malaysia akan menghargai dan menghormati agama masing-masing.
“Namun demikian ada individu-individu terpencil yang tidak memahami dasar ini telah melakukan perkara yang curang serta menyayat hati seluruh rakyat negeri ini bahkan negara ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihak Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) turut mengambil tindakan awal terhadap pelajar terbabit selepas mendapati dakwaan berkenaan mempunyai asas.
Menurutnya, tindakan itu dibuat mengikut Kaedah 58, Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024 apabila pelajar berkenaan diberhentikan daripada institusi tersebut.
“Bagi tindakan selanjutnya kita serahlah kepada pihak mahkamah untuk mengambil tindakan dari segi tingkah lakunya sendiri yang melakukan injakan terhadap al-Quran itu dan juga salah guna media sosial yang bebas diberikan kepada rakyat pada ketika ini juga akan didakwa,” katanya.
Sementara itu, pelajar terbabit didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada 3 Mac lalu atas pertuduhan mencemarkan al-Quran dengan niat mengaibkan agama di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan kes berkenaan kini dalam proses perbicaraan. -PAHANGMEDIA

