Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 05 MEI 2026 : Anugerah Sukan Pahang terus menjadi platform berprestij dalam mengiktiraf pencapaian cemerlang atlet, jurulatih serta individu yang terlibat dalam pembangunan sukan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan tertinggi peringkat negeri terhadap pengorbanan dan kejayaan atlet.
“Anugerah Sukan Pahang ini merupakan platform tertinggi negeri dalam mengiktiraf pengorbanan dan pencapaian atlet yang telah mengharumkan nama Pahang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Sukan Pahang yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Menurut beliau, kejayaan yang dikecapi atlet bukan sesuatu yang mudah kerana mereka perlu menempuh pelbagai cabaran sejak usia muda termasuk mengimbangi pelajaran, latihan sukan dan kehidupan peribadi.
“Disiplin dan pengorbanan menjadi kunci utama kejayaan mereka. Justeru, anugerah ini adalah simbol penghargaan terhadap segala usaha dan titik peluh atlet yang telah mengharumkan nama negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri kekal komited menyokong pembangunan sukan melalui kerjasama strategik dalam bidang sains sukan selain penambahbaikan berterusan terhadap kemudahan serta kebajikan atlet.
Menyentuh persiapan temasya Sukan Malaysia (SUKMA), beliau menegaskan semua acara yang telah dipersetujui wajar dikekalkan bagi menjaga kebajikan atlet dan jurulatih yang telah menjalani latihan intensif sejak sekian lama.
“Sebarang pengguguran acara akan memberi kesan besar kepada atlet dan jurulatih yang telah membuat persiapan rapi termasuk menyertai kejohanan di dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa langkah penjimatan tidak seharusnya menjejaskan penyertaan atlet, sebaliknya boleh difokuskan kepada aspek lain seperti majlis perasmian atau penutupan. -PAHANGMEDIA

