Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang bersedia membantu usahawan tempatan memperkukuh pembangunan hab halal negeri sebagai langkah strategik merebut peluang dalam pertumbuhan pesat industri halal global.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai inisiatif akan terus diperkasa termasuk penyediaan tapak perniagaan serta sokongan berterusan kepada pemain industri bagi memastikan mereka mampu berkembang lebih jauh.

“Kerajaan Negeri akan bantu terutamanya sekarang dalam industri hab halal. Kita dapat tahu bahawa ianya menjadi satu ‘demand’.
“Lawatan saya ke Shanghai bersama dengan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada tahun lepas kita dapat menyaksikan ramai usahawan daripada luar yang berminat dalam industri hab halal.

“Dan kita di Pahang ini, kita sediakan tempat ya… Berapa tempat, tanah untuk memulakan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pada Majlis Perasmian Penutupan Pahang International East Coast Entrepreneurial Summit (PIECES) 2026 sempena program Malaysia East Coast Trade And Entrepreneur Expo 2026 di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Ekonomi, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Dalam pada itu, beliau turut memuji komitmen penganjur serta kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam menjayakan program berkenaan.

Katanya lagi, berdasarkan tinjauan ke reruai pameran, kebanyakkan usahawan yang terlibat berjaya mengekalkan operasi perniagaan dan mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.
“Tujuan kita buat ini supaya kita dapat bincang mengenai masalah, mendapat cadangan, idea-idea yang mungkin boleh kita kembangkan lagi ya,” katanya lagi.
Program berkenaan yang menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta itu turut menjadi medan penting dalam memperluas jaringan kerjasama serta memperkasakan pembangunan ekonomi berteraskan keusahawanan di Pahang. -PAHANGMEDIA

