Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
JERANTUT, 12 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyediakan landasan kukuh bagi pembangunan belia di negeri ini melalui peruntukan dan pelaksanaan program yang dijalankan kepada golongan belia di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, ini kerana golongan ini merupakan aset penting bagi negeri ini.

“Kerajaan Negeri Pahang mengeluarkan belanja yang besar untuk pemerkasaan belia di negeri ini. Bukan semua negeri yang berbelanja besar untuk belia seperti Negeri Pahang ini. Pahang dicemburui kerana membelanjakan satu peruntukan besar untuk pemerkasaan belia.
“Contohnya dalam Mesyuarat Agong Majlis Belia Malaysia beberapa bulan lalu yang dilaksanakan di Kuantan bila saya menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pahang membelanjakan hampir RM4 juta untuk pembangunan belia melalui Jabatan Belia dan Sukan dan Majlis Belia Negeri Pahang, mereka bersorak dalam dewan itu dan kemudian mereka jumpa saya secara berseloroh kata nak join belia Pahang sebab mereka rasa ini satu peruntukan yang besar.
“Ada negeri yang belanja tak sampai RM1 juta, RM100,000 je untuk Jabatan Belia dan Sukan dan Majlis Belia Negeri. Jadi saya amat berharap agar belia di luar sana sahut hasrat Kerajaan Negeri ini kerana mereka adalah aset terpenting negeri ini, kita dah menyediakan landasan yang cukup kukuh dengan macam-macam pencapaian hasil negeri,” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan program Youth Empowerment Society (YES), beliau berkata Kerajaan Negeri akan meletakkan standard baharu kepada program ini bagi memastikan ia dapat menyumbang kepada pembangunan belia Pahang yang lebih mampan.
“Sudah pasti Kerajaan Negeri nak tengok standard baru dengan apa yang kita telah belanjakan. Sebab itulah kelainannya adalah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan sendiri yang menjadi pengarah program YES ini. Jadi beliau bertanggungjawab untuk buat postmortem selepas ini.
“Dari segi pemilihan perserta bagaimana mereka ini kemudian boleh menyumbang kepada pertumbuhan di peringkat daerah dan negeri, yang ini yang paling penting dari segi modulnya bagaimana, fasilitatornya bagaimana di kalangan orang-orang yang dah berjaya dan diperakui boleh menyumbang benda-benda jadi semua ini pengarah akan tengok nanti, akan bentang pada saya untuk pelaksanaan program YES 3.0 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Program Pemerkasaan Persatuan Belia (Youth Empowerment Society – YES) 2.0 Peringkat Negeri Pahang dan Sambutan Hari Raya di Kompleks Sukan Daerah Jerantut. -PAHANGMEDIA

