Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Adzhar
KUANTAN, 06 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memandang serius usaha memperkasakan pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Asli khususnya anak-anak yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah berkata, Kerajaan Negeri melalui ORACO akan membantu pelajar terbabit dalam urusan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Katanya, pihak ORACO juga akan membantu memberi panduan berkaitan bidang pengajian yang relevan dengan keperluan masa depan pelajar terbabit.

“Hari ini saya berjumpa dengan pelajar-pelajar Orang Asli cemerlang keputusan SPM, yang mendapat 8A dan 9A seramai lima orang. Dua orang dapat 9A, tiga lagi 8A.
“Kerajaan Negeri Pahang melalui ORACO, kita akan bantu mereka ini terutamanya dalam urusan untuk memudahkan mereka memohon ke tempat-tempat atau universiti yang mereka minat dan juga peluang-peluang yang mungkin mereka boleh dapat,” katanya ketika ditemui selepas sesi pertemuan bersama pelajar Orang Asli cemerlang SPM 2025 di Bilik Mesyuarat Pahang Corporate Management Service (PCMS), di sini hari ini.
Tambahnya, pelajar Orang Asli yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) layak menerima pembiayaan penuh daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Dan kalau dia belajar di IPTS, ada beberapa IPTS yang juga diberikan biasiswa, Macam UNITEN (Universiti Tenaga Nasional), UniKL (Universiti Kuala Lumpur). Itu yang saya dapat maklumlah dan yang ini kita akan semak dengan JAKOA kalau IPTS (institusi pengajian tinggi swasta) itu mana yang pelajar-pelajar Orang Asli boleh dapat kelayakan biasiswa,” katanya.
Beliau dalam pada itu memaklumkan Kerajaan Negeri turut menyediakan bantuan komputer riba kepada pelajar Orang Asli yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT sebagai usaha meringankan beban keluarga.
“Kerajaan Negeri Pahang sangat serius memandang berkenaan dengan pendidikan dalam kalangan anak-anak Orang Asli ini. Sebab itu, Kerajaan Negeri Pahang berbelanja membekalkan anak-anak Orang Asli yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA, IPTS dengan laptop (komputer riba).

“Sebab maklum sajalah anak-anak ini, ibu bapanya bukan orang senang. Jadi nak dapatkan laptop harga RM3,000, RM4,000 itu agak sukar. Jadi sebab itu Kerajaan Negeri Pahang belanja (komputer riba),” ujarnya,
Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri akan terus komited dalam memperkasa pendidikan masyarakat Orang Asli melalui pelbagai inisiatif termasuk pemantauan berterusan serta program motivasi.
“InsyaAllah kita akan teruskan dari segi martabatkan pendidikan di kalangan anak-anak orang asli. Nak bina tamadun, tidak ada cara lain. Mesti melalui pendidikan,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

