Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 01 APRIL 2026 : Isu pelajar terpaksa berjalan hampir 500 meter ke hentian bas akhirnya menemui penyelesaian apabila Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) meluluskan kebenaran kepada perkhidmatan BAS.MY untuk memasuki kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Baging.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha proaktif dalam memastikan keselamatan serta keselesaan pelajar, khususnya ketika berdepan keadaan cuaca tidak menentu dan risiko keselamatan di laluan terbabit.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, isu berkenaan dibangkitkan oleh orang awam menerusi media sosial berhubung kesukaran pelajar yang terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan perkhidmatan bas.

“Hari Isnin lepas saya dapat aduan melalui orang awam di media sosial berkenan dengan isu perkhidmatan bas yang tidak masuk ke kawasan sekolah. Pelajar terpaksa berjalan sejauh lebih kurang 500 meter dan ini membahayakan keselamatan pelajar terutama sekali dengan keadaan cuaca sekarang.
“Jadi saya telah meminta hari ini membuat perjumpaan bersama dengan pihak pengusaha BAS.MY dan APAD, hasilnya pihak APAD telah memberi kebenaran kepada pihak BAS.MY untuk masuk bagi menghantar dan mengambil pelajar pada sebelah pagi iaitu pukul 6:30 pagi dan 7:20 pagi, manakala sebelah petang pada pukul dua termasuk juga Jumaat pada pukul 12.
“Jadi saya harap dengan usaha ini dapat menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh ibu bapa dan para pelajar,” katanya selepas melakukan tinjaun laluan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Baging di sini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan kajian bagi menilai kesesuaian langkah-langkah menangani isu lalu lintas di kawasan Jalan Persekutuan FT3 bagi mengelakkan kemalangan berlaku.
“Saya minta Jabatan Kerja Raya (JKR) buat kajian tentang kesesuaian bagi menangani isu lalu lintas dikawasan ini (Jalan Federal FT 3) dan mengelakkan kemalangan berlaku.
“Keadaan trafik ini agak tinggi juga, jadi nak lalu lintas ini menjadi satu masalah dan laporan pada pihak polis juga memaklumkan dalam tempoh tiga tahun 15 kes yang dilaporkan berlaku di kawasan ini dan untuk suku tahun pertama tahun 2026 berlaku tiga kes kemalangan,” katanya. -PAHANGMEDIA

