Oleh : Ain Nadhira Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 01 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang melaksanakan dasar bekerja dari rumah (WFH) selama dua hari seminggu secara giliran bagi kakitangan Kerajaan Negeri Pahang, berkuat kuasa mulai minggu hadapan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, keputusan berkenaan dilakukan sebagai langkah prihatin Kerajaan Negeri dalam membantu mengurangkan beban kos harian yang terpaksa ditanggung oleh kakitangan.
“Mengambil kira keluh kesah rakyat serta cabaran peningkatan kos sara hidup yang semakin dirasai ketika ini, Kerajaan Negeri Pahang mengambil keputusan untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah (Work From Home – WFH) selama dua hari seminggu secara giliran bagi kakitangan Kerajaan Negeri Pahang, berkuat kuasa mulai minggu hadapan.
“Keputusan ini dibuat sebagai langkah prihatin Kerajaan Negeri dalam membantu mengurangkan beban kos harian yang terpaksa ditanggung,termasuk kos perjalanan, bahan api, tol, makan minum serta keperluan pengurusan keluarga.
“Pelaksanaan dasar ini akan dibuat secara tersusun dan berjadual, tanpa menjejaskan kecekapan operasi dan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri kepada rakyat” katanya.
Menurut beliau pelaksanaan dasar berikutan konflik di Timur Tengah ini merupakan langkah proaktif yang diambil memandangkan tiada tempoh khusus konflik ini akan tamat.
“Ini semua adalah ekoran daripada apa yang berlaku di Timur Tengah. Jadi, Kerajaan Negeri berpendapat kita mengambil tindakan awalan. Saya telah menyeru penjawat awam, rakyat Negeri Pahang supaya kita terpaksa lebih berhemah, berjimat cermat kerana kita tidak tahu konflik di Timur Tengah sampai bila. Oleh itu kita mengambil langkah yang proaktif dulu.
“Jadi, buat setakat ini, kita mengambil langkah bahawa bekerja dari rumah selama seminggu ini adalah satu pendekatan awalan yang kita perkenalkan untuk langkah berjimat cermat dan melegakan bebanan yang ditanggung oleh rakyat di Pahang.
“Penggunaan jentera serta kenderaan kerajaan juga kita akan minimakan supaya ini dapat menjimatkan penggunaan minyak diesel terutamanya,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan dasar ini akan diselaraskan oleh ketua jabatan dan agensi berdasarkan keperluan perkhidmatan serta fungsi jabatan masing-masing.
“Sebab kita tidak mahu wujud lompong-lompong dan dalam masa yang sama juga, kita tidak mahu menjejaskan produktiviti penjawat awam Negeri Pahang.
“Kita ada peraturan dan prosedur dia. Yang ini Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan, Dato’ Sri Nazri akan uruskan dengan ketua-ketua jabatan.
“Kita akan beritahu daripada semasa ke semasa. Bila keadaan dah pulih, kita akan kembali seperti sediakala. Dan ini, kita telah pun laksanakan semasa Covid-19, dia punya cara itu lebih kurang sama dengan pelaksanaan semasa Covid-19. Mungkin ada ubahsuai, tambah baik di sana-sini,” katanya.
Beliau turut berharap penjawat awam di negeri dapat terus mengekalkan disiplin, integriti dan produktiviti yang tinggi sepanjang dasar ini dilaksanakan.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri turut menggalakkan pihak swasta, jabatan dan agensi, serta majikan lain di negeri ini untuk mempertimbangkan pendekatan kerja yang lebih fleksibel.
“Dalam semangat yang sama, Kerajaan Negeri turut menggalakkan pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun serta majikan-majikan lain di negeri Pahang untuk mempertimbangkan pendekatan kerja yang lebihf leksibel, termasuk pelaksanaan bekerja dari rumah sekiranya bersesuaian dengan operasi dan keperluan organisasi masing-masing.
“Kerajaan Negeri percaya langkah ini mampu memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang bekerja, di samping mewujudkan suasana kerja yang lebih seimbang, produktif dan responsif terhadap cabaran semasa,” katanya. – PAHANGMEDIA

