Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 14 MAC 2026 : Slogan Pahang 1st merupakan platform untuk rakyat negeri ini meneruskan rasa kasih sayang kepada Negeri Pahang.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sebarang bentuk pertelingkahan yang berlaku di negeri ini hanya akan merugikan rakyat Pahang sendiri.

“Yang penting kita kekalkan kestabilan dan perpaduan politik sesama kita. Kita jangan berkelahi sesama kita. Yang melemahkan kita ialah kita berkelahi sesama kita.
“Sebab tu orang mengatakan untuk memecah belahkan orang Melayu ini kena daripada dalam. Kalau daripada luar, tak akan berpecah. Oleh itu kita jangan berpecah, kita sokong Kerajaan yang ada pada hari ini supaya kita boleh memberi tumpuan untuk kita memajukan lagi negeri yang kita kasihi, yang kita sayangi ini.
“Sebab itulah saya membawa slogan Pahang 1st. Bukan setakat slogan sebenarnya tetapi untuk kita meneruskan rasa kasih dan sayang kita kepada Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata sebagai rakyat Pahang, mereka bertanggungjawab untuk menjaga keharmonian dan kemakmuran negeri bagi memastikan rakyat dan generasi akan datang mendapat peluang yang sebaiknya.

“Jadi kita sebagai rakyat Negeri Pahang, tak ada orang lain yang nak jaga Pahang ni melainkan kita. Janganlah kita bergaduh sama sendiri. Saya cakap ni bukan kita bergaduh, tidak, tolerance level sesama kita tu kena tinggi.
“InsyaAllah kalau kadar tolerance level kita tu tinggi, kita dapat mengurangkan kadar kecelaruan atau pun perkembangan yang kadang-kadang tidak harus kita besarkan atau kita panjangkan.
“Yang penting negeri kita, negara kita, keluarga kita, diri kita, anak-anak kita mendapat pendidikan dan peluang perjalanan yang sebagusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama YAB Menteri Besar Pahang di Masjid Al-Huda Kampung Raja.
Turut hadir, Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Dr Ramli Dato’ Mohd Nor; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB. Tuan Ho Chi Yang; dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Encik Kamarul Iskandar Nordin. -PAHANGMEDIA

