Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 13 MAC 2026 : Program Rakan Masjid dan Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2026 dapat mendekatkan golongan belia dengan institusi masjid sebagai pusat pembangunan sahsiah masyarakat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang Merangkap Pengerusi Majlis Rekreasi Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, program seumpama ini juga membantu dari segi pembentukan jati diri generasi muda.

“Objektif penganjuran program ini tercapai dengan jayanya khususnya yang pertama nak mendekatkan golongan belia dengan institusi masjid sekaligus menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan sahsiah dan pembentukan jati diri generasi muda.
“Yang kedua nak mengumpul semangat kesukarelawan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat. Dan yang ketiga mengimarakan masjid sebagai pusat aktiviti komuniti yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bersyukur dengan penyertaan kira-kira 300 peserta termasuk 200 pelajar sekolah pada program yang diadakan di Masjid Al-Ma’arof, Kampung Durian Sebatang hari ini.
“Dan saya syukur sangat dalam majlis pada petang ini ramai anak muda yang ada. Dalam dunia tengah berkecamuk sekarang, dunia yang tak menentu hari ini, cabaran yang macam-macam.

“Pendinding kepada anak muda ini sudah pastilah Al-Quran. Sebab itulah hari ini, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang menganjurkan program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Rakan Masjid dan Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2026 di Masjid Al-Ma’arof, Kampung Durian Sebatang. -PAHANGMEDIA

