Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 4 MAC 2026: Kerajaan Negeri Pahang akan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada semua penjawat awam Negeri ini.
Menurut satu kenyataan media dikeluarkan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pemberian bantuan yang akan dikreditkan ke dalam akaun penerima seminggu sebelum Aidilfitri ini bertujuan untuk membantu penjawat awam dalam persiapan sambutan Aidilfitri.
“Pemberian bantuan ini bertujuan membantu penjawat awam membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Bantuan khas kewangan ini melibatkan kira-kira 8,000 orang penjawat awam negeri dan akan dikreditkan ke dalam akaun penerima seminggu sebelum Aidilfitri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar pemberian ini dapat menyuntik semangat kepada seluruh warga perkhidmatan awam di negeri ini untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang.
“Kerajaan Negeri berharap agar pemberian ini dapat menyuntik semangat kepada seluruh warga perkhidmatan awam negeri untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang, sekali gus memperkukuh usaha memakmurkan negeri serta memastikan kesejahteraan rakyat terus dipertingkatkan,” katanya.-PAHANGMEDIA

