Oleh : Norhafizan Zulkifli
BENTONG, 04 MAC 2026 : Syarikat rangkaian runcit tempatan, 99 Speedmart meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka bersama Kerajaan Negeri Pahang dengan menyumbang sebanyak 400 bakul makanan kepada golongan memerlukan di negeri ini.
Sebagai gimik penyerahan, enam bakul makanan disampaikan kepada penerima di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu majlis yang berlangsung di Majlis Perbandaran Bentong, di sini hari ini.
Pengurus Bahagian Hal Ehwal Kerajaan Unit Operasi Cawangan 99 Speedmart, Encik Mohd Hafizan Zainal Abidin berkata, program berkenaan merupakan inisiatif tahunan syarikat itu dalam membantu meringankan beban rakyat, khususnya menjelang musim perayaan.
“Kita boleh cakap ia adalah program tahunanlah… CSR tahunan menjelang perayaanlah. Ini yang kita buat di mana-mana negeri.
“Untuk Pahang adalah sebanyak 400 (bakul makanan) yang merangkumi barang-barang keperluan asas.
“(Antaranya) beras, kita ada bihun, kita ada kurma, kita ada sirap, kita ada air… barang-barang keperluanlah untuk digunakan,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Tambahnya, kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Pahang adalah bagi memastikan proses pengagihan bantuan berjalan lancar dan sampai kepada kumpulan sasaran.
“Ya, betul, ada (kerjasama setiap tahun),” ujarnya memaklumkan menyerahkan kepada pihak Kerajaan Negeri bagi urusan pengagihan.
Inisiatif tersebut sekali gus mencerminkan komitmen berterusan sektor swasta dalam menyokong usaha kerajaan membantu golongan kurang berkemampuan, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat di negeri ini. -PAHANGMEDIA

