Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 1 MAC 2026 : Majlis Rekreasi Pahang (MRP) menjelaskan yuran penyertaan sebanyak RM500 bagi setiap pasukan untuk program Mara Lasak Pahang 2.0 yang dijadual berlangsung pada 5 April ini adalah khusus bagi menampung kos pengurusan dan logistik program.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh pihak Urus Setia Mara Lasak Pahang 2.0 hari ini, yuran tersebut tidak melibatkan peruntukan hadiah kemenangan, sebaliknya digunakan sepenuhnya bagi memastikan kebajikan serta keselamatan peserta sepanjang program berlangsung.
Tambah kenyataan itu lagi, sebaliknya, peruntukan hadiah wang tunai bagi kesemua lima kategori yang dipertandingkan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur dengan jumlah keseluruhan melebihi RM30,000.
“Yuran penyertaan sebanyak RM500 bagi setiap pasukan (bersamaan RM50 seorang) untuk program Mara Lasak Pahang 2.0 pada 5 April ini adalah bagi menampung kos penyediaan keperluan peserta seperti T-shirt, nombor bib, medal, perlindungan insurans, makanan dan minuman ringan di setiap ‘check point’, serta penyediaan bebanan lima kilogram,” menurut kenyataan terbabit.
Jelas kenyataan itu, sekiranya berlaku sebarang defisit kos pengurusan, ianya akan ditanggung sepenuhnya olah pihak MRP.
Komitmen tersebut tambahnya, membuktikan kesungguhan MRP dalam memperkukuh agenda gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat negeri ini melalui penganjuran program berimpak tinggi dan inklusif.
Sementara itu, MRP turut memohon maaf atas kesilapan yang berlaku semasa sidang media pengumuman Mara Lasak Pahang 2.0 pada 23 Februari lalu.
Menurutnya, segala maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak amat dihargai dan akan dijadikan panduan bagi dijadikan panduan penambahbaikan penganjuran Mara Lasak Pahang 2.0 yang telus dan berkualiti. -PAHANGMEDIA

