Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 14 FEBRUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memperkasa aspek pembangunan kemahiran, kebajikan dan kesejahteraan sosial wanita di negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ini kerana peranan wanita semakin luas bukan sahaja mengurus rumah tangga, tetapi juga menyumbang dalam ekonomi, pendidikan dan kepimpinan masyarakat.
“Jadi saya mahu wanita Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) Lipis terus yakin dengan kemampuan diri. Jangan rasa kecil. Jangan rasa sekadar biasa-biasa. Sebenarnya puan-puan semua adalah pemimpin dalam ruang masing-masing.

“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa melihat wanita sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri.
“Dasar dan program yang kita laksanakan tidak akan sampai ke akar umbi tanpa sokongan pertubuhan seperti WI. Puan-puan inilah yang menjadi jambatan antara kerajaan dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) Daerah Lipis Kali Ke-26 Tahun 2026 di Bangunan UMNO Lipis, hari ini.

Beliau berkata wanita merupakan nadi kekuatan komuniti melalui WI sebagai tempat untuk belajar perkara baharu serta membina keyakinan kaum wanita.
“WI ini bukan sekadar persatuan untuk berkumpul. WI adalah tempat membina keyakinan. Tempat belajar perkara baharu. Tempat kita saling menyokong bila ada yang susah dan berkongsibila ada yang berjaya,” katanya.
YAB. Menteri Besar turut meluluskan peruntukan sebanyak RM130,000 kepada WI Daerah Lipis bagi pelaksanaan program dan pengurusan persatuan. -PAHANGMEDIA

