Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 14 FEBRUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang mendekati masyarakat di negeri ini secara bersasar dan menyeluruh melalui penyaluran bantuan sebanyak RM769,481 menjelang Ramadan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Ramadan bukan hanya tentang kebajikan individu tetapi menghidupkan roh masyarakat dan pusat kehidupan masyarakat Islam iaitu masjid dan surau.

“Hari ini Kerajaan Negeri bersama Yayasan Pahang hadir dengan menyalurkan bantuan sebanyak RM350 kepada 573 penerima, melibatkan 13 kampung di kawasan Jelai, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM200,550 melibatkan 162 anak-anak yatim, 130 ibu tunggal, dan 281 pesakit terlantar.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut menyampaikan sumbangan cek kepada 40 penerima dengan jumlah RM308,931 dan menyumbang kepada 13 buah masjid dan 38 buah surau di DUN Jelai, serta 8 buah masjid dan 24 buah surau bagi DUN Tanah Rata dengan setiap masjid menerima RM5,000, manakala setiap surau pula menerima RM2,500 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM260,000.

“Kita tidak mahu Ramadan disambut dengan rasa bimbang. Kita mahu Ramadan disambut dengan rasa tenang dan syukur. Inilah pendekatan kita. Bukan sekadar umum, tetapi bersasar dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ahlan Ramadan Yayasan Pahang 2026 di Laman Sejahtera Sungai Koyan hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi.

Beliau berkata bantuan kepada anak yatim, ibu tunggal, dan pesakit terlantar ini mungkin dilihat kecil tetapi bagi keluarga yang memerlukan, ia sangat bermakna.
“Bantuan ini boleh menjadi duit belanja dapur untuk seminggu. Bantuan ini boleh menjadi duit membeli keperluan berbuka puasa.bBantuan ini boleh menjadi sedikit kelegaan dalam tekanan hidup. Dan yang lebih penting, ia memberi mesej bahawa kerajaan negeri tidak pernah melupakan rakyatnya.
“Sebab itu Kerajaan Negeri memberi perhatian serius kepada usaha mengimarahkan rumah Allah. Peruntukan ini bukan sekadar angka. Ia untuk memastikan ada kuliah Ramadan. Ada program tadarus. Ada majlis berbuka puasa. Ada aktiviti untuk anak muda dan warga emas.
“Kita mahu masjid hidup dengan ilmu. Kita mahu surau hidup dengan ukhuwwah. Kita mahu Ramadan di Pahang benar-benar terasa suasananya,” katanya.
Beliau turut menegaskan, Kerajaan Negeri akan terus jadi benteng kebajikan rakyat yang menghubungkan Kerajaan dengan rakyat serta menjadi tempat menghulur bantuan dan harapan kepada yang memerlukan. -PAHANGMEDIA

