Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
BERA, 14 FEBRUARI 2026 : Seramai 100 orang masyarakat di Mengkarak menerima bantuan barangan keperluan asas menerusi Program Yayasan PETRONAS Memacu Kehidupan Tahun Baru Cina 2026 anjuran PETRONAS Wilayah Pantai Timur.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur yang sekali lagi tampil menyalurkan sumbangan kepada masyarakat yang bakal menyambut Tahun Baru Cina dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Terima kasih kepada pihak PETRONAS Wilayah Pantai Timur kerana sekali lagi hadir kesini bagi membantu dan juga memberikan sumbangan berupa barang makanan kepada yang akan meraikan Tahun Baru Cina pada beberapa hari lagi.

“Semoga sumbangan yang diberikan oleh PETRONAS ini dapat menggembirakan kita semua, dapat kita beraya dengan penuh semangat, kekeluargaan,” katanya ketika berucap di Program Yayasan PETRONAS Memacu Kehidupan (Uplifting Lives): Tahun Baru Cina 2026 di Dewan Orang Ramai, Mengkarak di sini semalam.
Tambahnya, pemilihan kawasan Mengkarak sebagai lokasi penganjuran program kali ini adalah kerana kehadiran masyarakat Tionghua yang ramai di kawasan DUN Guai.

“Saya memang mencadangkan kawasan Mengkarak ini memandangkan kawasan inilah bangsa Tionghua terlalu ramai di DUN Guai ini.
“Jadi, saya berharap agar usaha yang digerakkan oleh PETRONAS ini, bukan sahaja dapat membantu meringankan beban dan kesulitan golongan yang memerlukan, malah turut mengukuhkan hubungan erat antara PETRONAS dan masyarakat setempat,” katanya. -PAHANGMEDIA

