Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 14 FEBRUARI 2026 : Program Advokasi Keselamatan Pengangkutan Awam sempena sambutan Tahun Baharu Cina dilaksanakan bagi memastikan keselamatan penumpang bas ekspres sentiasa berada pada tahap optimum.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, Terminal Sentral Kuantan merupakan hab utama pergerakan penumpang pengangkutan awam, khususnya menjelang musim perayaan.

“Objektif utama program ini adalah untuk memastikan semua bas ekspres mematuhi peraturan yang ditetapkan, terutama dari aspek keselamatan kenderaan dan tahap kesiapsiagaan pemandu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Advokasi Keselamatan Pengangkutan Awam sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Sentral Kuantan.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Pahang (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang (JBPM) , Jabatan Pendaftaran Negeri Pahang (JPN) serta Wakil Agensi Antidadah.

Beliau turut menegaskan bahawa pemandu bas memikul tanggungjawab besar kerana membawa nyawa penumpang ke destinasi masing-masing, justeru, pemandu perlu memastikan tahap kesihatan dan kecergasan sentiasa berada dalam keadaan baik serta mematuhi had laju yang ditetapkan.
“Pertama sekali, kita mahu memastikan pemandu bas sedar akan tanggungjawab besar yang dipikul. Mereka perlu sentiasa mematuhi had laju, berada dalam keadaan fizikal yang cergas serta memastikan kenderaan disenggara dengan baik,” katanya.
Dalam masa sama, penumpang juga diseru supaya memainkan peranan dengan melaporkan sebarang tingkah laku berbahaya seperti pemandu mengantuk, menggunakan telefon bimbit ketika memandu atau memandu secara berbahaya.
“Keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Jika penumpang melihat sebarang kesalahan, mereka boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan penumpang supaya membeli tiket melalui platform yang sah, mematuhi arahan keselamatan serta tidak mengganggu pemandu sepanjang perjalanan. – PAHANGMEDIA

