KUANTAN, 23 JANUARI 2026 : Kerajaan Pahang membuktikan pendiriannya yang jelas dan konsisten sebagai sebuah kerajaan yang ‘buta warna’ dalam soal pemberian bantuan pendidikan, dengan memastikan setiap anak negeri tanpa mengira aliran, latar belakang atau status sekolah terus menerima bantuan sewajarnya.
Perkara ini diterjemahkan menerusi penyaluran bantuan Program Tunas Makmur kepada 117 pelajar Sekolah Rendah Islam (SERI) Tahfiz Al-Banna, Institut Tahfiz Turath Al-Banna (ITTAB) Bandar Jengka yang berada di bawah pengurusan Parti PAS.

Sekolah ini juga dipengerusikan oleh Ketua Penerangan PAS Pahang, Aireroshairi Roslan.
Pemberian bantuan bagi membantu pelajar sekolah rendah dan menengah khususnya daripada golongan miskin dan miskin tegar ini disampaikan oleh Ahli Majlis Daerah Maran, Encik Asmawi Ahmad mewakili Penyelaras Dewan Undangan Jengka, YH Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Haji Mohamed Said.

Inisiatif yang bermula sejak 2022 ini menyediakan set peralatan persekolahan bernilai RM100 yang membekalkan beg, alat tulis, dan kelengkapan pembelajaran serta baucar pakaian sekolah bernilai RM100 yang boleh ditebus di Pasaraya Sakan, Pusat Pakaian Hari-Hari, MBS Bookstore dan Rex Trading.
Seramai 68,000 pelajar tahun satu serta pelajar miskin tegar dari tahun dua hingga tingkatan lima di negeri ini menerima manfaat program dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM14.8 juta ini.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 pada Disember lepas berkata setiap wang yang dibelanjakan kepada pelajar merupakan satu pelaburan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Setiap wang yang dibelanjakan adalah pelaburan untuk menjadikan generasi akan datang lebih berdaya saing, lebih kreatif dan lebih bersedia mengemudi masa depan negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

