Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 13 JANUARI 2026 : “Lega dah tak payah minta bantuan baiki atap bocor, dah tak risau kena pindah setiap kali hujan lebat,” luah penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar, Encik Abdul Kadir Huji.
Encik Abdul Kadir, 80, dari Kampung Temai Hulu dalam keadaan sebak turut melahirkan rasa gembira dan terharu dengan pemberian rumah percuma oleh Kerajaan Negeri Pahang bernilai hampir RM80,000 sebuah kepadanya.

“Rasa gembira, rasa sedih dapat rumah ni sebab dah lama susah. Rumah sebelum ni banyak rosak. Selalu minta bantuan untuk baiki atap. Kalau banjir pun air masuk rumah, kena pindah.
“Dapat rumah ni rasa lega sangat, seronok sangat, dah tak payah pindah, dah tak payah fikir atap bocor. Saya dah masuk dah (rumah baru), selesa sangat.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri, Menteri Besar, terima kasih semua yang sudi bagi bantuan rumah selesa kepada saya,” katanya yang tinggal bertiga bersama isteri dan seorang anak.

Sementara itu, Puan Faridah Samsudin, 49, turut mengalirkan air mata kegembiraan setelah menerima kediaman sendiri yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar.
“Rasa gembira dapat rumah sendiri sebab sebelum ini saya duduk dengan mak. Dapat rumah sebelah rumah mak jadi senang saya nak jaga mak yang sakit.
“Saya dah lama minta rumah ni, rasa bersyukur sangat. Terima kasih banyak-banyak buat Kerajaan Negeri bagi saya dan anak-anak rumah untuk kami sekeluarga,” katanya yang merupakan ibu tunggal dan memiliki dua anak berusia 21 tahun yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan serta seorang lagi berusia 9 tahun. -PAHANGMEDIA

