Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 12 JANUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan bekalan air secara percuma kepada penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, keputusan ini dibuat bagi memastikan para penerima dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Selain daripada peruntukan yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri secara percuma ini, Kerajaan Negeri juga telah mewartakan bahawa setiap rumah ini diberikan air secara percuma sebanyak 20 meter kiub.
“Dan ini adalah merupakan satu inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan mereka yang betul-betul layak ini dapat menikmati kehidupan yang lebih baik lagi di Negeri Pahang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan kunci rumah kepada penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Temai Hilir.

Menurut beliau, sehingga kini hampir 1,200 buah rumah telah dibina di bawah program RRP melibatkan kos kira-kira RM150 juta secara keseluruhan.
“Sehingga kini hampir 1,200 yang telah siap kita bina di seluruh Negeri Pahang sehingga Fasa 5 dan ini melibatkan hampir RM150 juta yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri.
“Yang telah kita berikan percuma kepada mereka-mereka yang didapati layak oleh setiap pejabat daerah, yang telah disemak oleh pejabat daerah, dan kita kirakan mereka yang miskin tegar, betul-betul memerlukan rumah,” katanya. -PAHANGMEDIA

