Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
SHAH ALAM, 10 JANUARI 2026 : Program Pahang Explore Race: Generasi FELDA satu platform untuk mahasiswa dari negeri ini berhubung dengan Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, program seumpama ini menjadi medium Kerajaan Negeri menyampaikan maklumat berkenaan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.
“Dan inilah kita nak membina hubungan rapat antara Kerajaan Negeri dan juga seluruh mahasiswa di negeri Pahang. Sekretariat Muafakat FELDA Negeri Pahang juga sebagai salah satu organisasi yang membantu antaranya anak-anak FELDA di luar daripada Negeri Pahang.

“Inilah salah satu inisiatif yang telah pun kita gerakkan terutama sekali daripada golongan belia ataupun anak-anak muda yang berada di perantauan, yang berada di luar Negeri Pahang, bila mereka berada di Negeri Pahang kita boleh bantu secara terus namun apabila mereka keluar daripada Negeri Pahang inilah antara sekretariat yang boleh membantu mereka.
“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan menjadikan sebagai satu platform untuk berhubung dengan Kerajaan Negeri Pahang. Kita berikan penerangan yang jelas kepada mahasiswa di seluruh Negeri Pahang bahawa apa inisiatif-inisiatif, dan prestasi Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata program secara bersemuka bersama mahasiswa melibatkan kira-kira 500 pelajar daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara ini juga secara tidak langsung dapat memperbetulkan pemahaman yang salah.
“Kita dapat melihat anak-anak muda terutama sekali mahasiswa-mahasiswa dapat menampakkan yang mana betul, yang mana salah. Ini yang penting sebab itu dalam ucapan saya tadi kita perlu menilai prestasi Kerajaan Negeri ini bagaimana kaedahnya dan bagaimana pencapaiannya.

“Kalau prestasi setiap tahun bagus, setiap tahun meningkat, ini adalah satu perkara yang baik, kenapa kita nak mundur ke belakang. sebab itu kita nak nasihatkan anak muda, kena melihat prestasi apa yang telah pun dibuat oleh Kerajaan Negeri terutama di bawah kepimpinan YAB. Menteri Besar Pahang.
“Benda yang positif, benda yang baik untuk masa akan datang, untuk generasi yang akan datang, bukan untuk kami, ini untuk terutama sekali mahasiswa pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Pahang Explore Race: Generasi FELDA 2025 di Dewan Mawar Qaseh, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; dan Pengarah Seketeriat Mahasiswa Pahang, YH. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin. -PAHANGMEDIA

