Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 10 JANUARI 2026 : Empat tahun tinggal di dalam kontena di kebun durian setelah rumah pusaka miliknya musnah akibat banjir besar pada 2021, Encik Choy Loy Kee hari ini meluahkan rasa gembira dengan pengurniaan rumah baharu kepadanya.
Encik Choy Loy Kee, 67, dari Kampung Sungai Perdak menyifatkan rumah baharunya ini sebagai hadiah Tahun Baharu Cina yang sangat bermakna.
“Tahun Baharu (Cina) sudah dekat, kita sudah ada rumah baru, memang kita hati senang, gembira tau. Sekarang, rumah sendiri memang hati senang, tak payah tumpang sama orang, tengok muka orang lain.
“Rasa gembira sangatlah. Saya nak ucap banyak-banyak terima kasih kepada ketua kampung, Tuanku Sultan dan Kerajaan sebab dah beri bantuan banyak kepada kita. Hati pun senang sikit, kalau tak sampai sekarang saya tak ada rumah,” katanya yang tinggal sendiri.

Mengimbau kembali kejadian banjir yang berlaku, Encik Choy Loy Kee berkata kejadian berlaku terlalu pantas dan dia hanya mampu melarikan diri bersama sebuah kereta miliknya ke kawasan tinggi untuk menyelamatkan diri.
“Masa banjir tu saya tolong bersihkan rumah jiran di sebelah bawah pindahkan barang sebab banjir, tiba-tiba ada orang beritahu rumah saya pun masuk air (banjir).
“Saya lari balik, tengok air dah tiga kaki lebih. Apa benda, dokumen ke, semua benda tak dapat selamatkan cuma sempat bawa kereta dan baju di badan sahaja. Sebab air naik cepat sangat, tak sampai satu jam, air dah sampai lapan kaki, sama paras bumbung,” katanya yang mengalami kerugian hampir RM80,000 dalam bencana tersebut.
Sementara itu, menurut Encik Chui Kah On, 79, rumah baharu yang diterima ini dapat memudahkan abang iparnya Encik Liew Sek Kim, 75, yang mengalami angin ahmar separuh badan.

“Dapat rumah ni rasa senang hatilah, tak payah kita cari duit untuk buat rumah baru ganti yang sudah rosak dulu tu.
“Abang ipar pun tak sabar nak balik duduk di rumah ini cuma sekarang dia tinggal di Karak untuk rawatan,” katanya.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan mengurniakan kunci rumah kepada 32 penerima melibatkan 28 buah rumah mangsa banjir Bulan Sabit Merah Emirates (ERC) dan empat buah rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) Ru’RASA di Kampung Sungai Perdak.
Turut berangkat mengiringi Kebawah Duli Paduka Baginda, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -PAHANGMEDIA

