BENTONG, 09 JANUARI 2026 : Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah ke rumah penduduk yang terlibat dengan kejadian kebakaran di Felda Kampung Sertik pada Rabu lalu ternyata mengembalikan semula semangat mereka untuk terus hidup.

Bagi Rahimah Omar, 77, kunjungan serta kurniaan yang diterima amat bermakna, lebih-lebih lagi selepas rumah yang didiaminya bersama arwah suami dan anak-anak musnah sepenuhnya dalam sekelip mata akibat kebakaran tersebut.
“Saya rasa gembira, bangga dan sangat berterima kasih kepada Kebawah Duli Tuanku. Keprihatinan Tuanku membuatkan saya kembali bersemangat. Semalam saya masih berasa lemah melihat keadaan rumah yang hangus, tetapi hari ini, alhamdulillah, saya rasa ada kekuatan untuk meneruskan hidup,” katanya.

Rahimah menerima kurniaan daripada KDPB Sultan Pahang yang berkenan berangkat menziarahi mangsa dan ahli keluarga serta melihat sendiri keadaan rumah yang musnah teruk akibat dijilat api.
Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, Rahimah yang tinggal bersendirian sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat Asar sebelum dikejutkan dengan jeritan jiran yang menyedari kepulan asap dan api di bahagian hadapan rumahnya. Tindakan pantas jiran tersebut membolehkan Rahimah bergegas keluar dan menyelamatkan diri.-PAHANGMEDIA

