Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 08 JANUARI 2026 : UMNO Pahang menghormati peranan semua rakan politik yang bersama menyumbang kepada pembangunan Negeri Pahang.
Menurut satu kenyataan media oleh Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang, YH. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, kenyataan YAB. Menteri Besar Pahang yang dilaporkan baru-baru ini perlu difahami dalam konteks pengalaman pentadbiran dan keperluan dalam memastikan kelancaran urusan Kerajaan Negeri.
“Kenyataan YAB Menteri Besar Pahang yang dilaporkan baru-baru ini perlu difahami dalam konteks pengalaman pentadbiran dan keperluan memastikan kelancaran urusan Kerajaan Negeri, bukan sebagai satu penilaian terhadap nilai atau sumbangan mana-mana parti politik.
“YAB Menteri Besar memikul tanggungjawab besar untuk memastikan setiap dasar dan keputusan Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan rakyat Pahang.
“Dalam proses tersebut, pengalaman!bekerjasama dengan pelbagai pihak sudah tentu berbeza mengikut situasi, masa dan isu yang dihadapi,” katanya.
Beliau dalam kenyataan berkenaan turut menyatakan pendirian teguh UMNO Pahang dalam menyokong kepimpinan YAB Menteri Besar menerajui Kerajaan Negeri.
“UMNO Pahang berdiri teguh menyokong kepimpinan YAB Menteri Besar dalam menerajui Kerajaan Negeri, khususnya dalam usaha mengekalkan kestabilan politik, keharmonian antara kaum dan keberkesanan pentadbiran.
“Dalam masa yang sama, UMNO Pahang juga menghormati peranan semua rakan politik yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Perbezaan pandangan dan pengalaman tidak seharusnya ditafsir sebagai menafikan jasa atau kedudukan mana-mana pihak,” katanya. -PAHANGMEDIA

