Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 JANUARI 2026 : Ziarah Mangsa Banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura bukan sekadar menghulur bantuan tetapi medan berkongsi rasa dengan penduduk terlibat.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Dato’ Sri Ab. Hamid Mohd Nazahar, program ziarah yang merupakan acara berkala ini menjadi platform bagi menyatuni dan bertanya khabar penduduk di kawasan terlibat.
“Jadi ada di antara mangsa-mangsa banjir yang menerima bantuan dan ada yang tidak menerima bantuan. Yang tidak menerima bantuan inilah sebahagian daripada ziarah kita bertanya khabar selepas banjir.

“Jadi dia bukan soal apa dan berapa tetapi soal kita datang bertanya khabar kepada mereka. Ini di antara kaedah kita untuk kita mendekati masyarakat dan ianya kita lakukan sepanjang tahun secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan memberi bantuan kepada pasangan pesakit kronik yang ditemui ketika program ziarah yang dijalankan di Kampung Teluk Mahang hari ini.

“Hari ini dalam kita melakukan ziarah pasca banjir, kita terjumpa dengan sepasang suami isteri yang menghadapi sakit kronik. Isterinya ada kencing manis, darah tinggi, tiga serangkai, dan suaminya buah pinggang tahap 3.
“InsyaAllah kita akan cuba cadangkan kepada pejabat Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy untuk memberi bantuan khas pesakit kronik. Kita akan cuba dapatkan detail untuk kita terus membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada kira-kira 50 penghuni rumah di Kampung Teluk Mahang yang merupakan mangsa banjir baru-baru ini. -PAHANGMEDIA

