Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 07 JANUARI 2026 : Perkhidmatan Bas.My dapat membantu meningkatkan kehadiran pengunjung ke kawasan tarikan pelancong di daerah ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man, ini memandangkan perkhidmatan bas ini turut merangkumi beberapa destinasi pelancongan yang ada.
“Saya perhatikan bahawa untuk laluan-laluan ini, ia juga merangkumi beberapa tempat tarikan. Sebagai contoh, Menara 188, Teluk Cempedak, dan shopping mall, dan ada juga di Cerating, Sungai Lembing, Pekan, Gambang.

“Kita mengharapkan dengan adanya perkhidmatan ini, pergerakan orang awam untuk melawat ke tempat tarikan akan bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau operasi perkhidmatan Bas.My di Hentian Bas Kuantan, di sini.
Beliau berkata bagi memastikan perkhidmatan ini mendapat sambutan daripada pengunjung, Kerajaan Negeri Pahang turut bercadang untuk bekerjasama dengan pengendali perkhidmatan bas bagi tujuan promosi.
“Memang kita berhasrat untuk mempromosikan perkhidmatan Bas.My, bekerjasama dengan pihak syarikat untuk mempromosikan laluan-laluan yang merangkumi tempat tarikan. Dan pada masa yang sama, kita juga berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak bas supaya kita boleh mempromosikan bukan sahaja tempat tarikan, tapi tempat-tempat where to eat, makanan.

“Dan juga kalau kita ada acara pelancongan, kita juga boleh menggunakan ruang ini untuk mempromosikan event kita supaya acara kita akan lebih dapat dikenali dan dipromosikan dengan awal dan dapat sambutan lebih ramai daripada penduduk tempatan,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan bas ini yang mula beroperasi sejak 15 Disember lepas di sekitar daerah ini.
“Jadi kita menggalakkan warga Kuantan ataupun warga Pahang mengambil kesempatan untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan.
“Jadi dengan ini, kita mengajak dan menggalakkan semua jom kita naik Bas.My bukan sahaja untuk urusan kita, urusan rasmi, urusan persendirian, dan juga kita boleh mengambil perkhidmatan ini untuk kita melawat tempat-tempat tarikan di sekitar Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

