Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 02 JANUARI 2026 : Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di buka di SK Ulu Atok, Raub yang menempatkan 74 mangsa daripada 15 buah keluarga.
Menurut satu kenyataan media oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, berlaku limpahan air di Sungai Ulu Atok akibat hujan lebat yang berterusan.
Setakat ini, dua sungai di daerah berkenaan direkodkan berada pada paras amaran iaitu Sungai Dong di Jambatan Sungai Dong, dan Sungai Gali di Jambatan Sungai Gali.
Manakala empat sungai lain di negeri ini berada pada paras waspada iaitu Sungai Jelai di Jeti Lipis, Lipis; Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis; Sungai Telemong di Telemong, Bentong; dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran.
Menurut ramalan cuaca bagi negeri ini sehingga 4 Januari, dijangka akan berlaku hujan di beberapa tempat di waktu pagi dan petang manakala pada waktu malam dijangka berlaku hujan di beberapa tempat di kawasan pendalaman. -PAHANGMEDIA

