Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 31 DISEMBER 2025 : Seramai 73 pelajar menerima Sijil Tamat Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) sebagai persediaan awal sebelum melanjutkan pelajaran di Jordan.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn. Bhd., YH. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, sepanjang tempoh tiga bulan mengikuti kursus tersebut, para pelajar bukan sahaja didedahkan kepada penguasaan Bahasa Arab, malah turut diberi pendedahan mengenai adat dan budaya masyarakat di Jordan.
“Tempoh kursus KIBA ini selama tiga bulan dan yang menariknya di sini, ianya bukan sekadar mengajar mereka mengenai kemahiran Bahasa Arab tetapi mereka juga diajar untuk memahami adat budaya di Jordan.

“Budaya yang dimaksudkan ini termasuklah makanan dan cara kehidupan mereka disana. Jadi ianya diberi pendedahan awal supaya mereka tidak berlaku kejutan budaya apabila mereka sampai di Jordan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Tamat Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) bagi Pelajar Young Talent Program Mara dan Tajaan Yayasan Pahang di Auditorium, Kampus Utama UCYP University, hari ini.
Tambahnya, para pelajar akan dihantar ke empat buah universiti di Jordan secara berperingkat sebelum sesi pengajian bermula pada Februari tahun hadapan.
“Mereka akan dihantar secara berperingkat sebelum sesi bermula pada Februari tahun depan. Para pelajar akan ditempatkan di empat buah universiti mengikut dalam bidang pengajian masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar para pelajar dapat menyumbang semula kepaa negeri dan negara selepas tamat pengajian.
“…. dan kita harap mereka apabila pulang semula ditanah air nanti dapat menyumbangkan semula kepada negeri dan negara. Menurunkan ilmu yang mereka pelajari kepada masyarakat setempat.
“Saya juga mengharapkan mereka bukan sahaja menjadi pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik, tetapi menunjukkan akhlak yang tinggi, jati diri dan tidak melupakan akar mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA

