Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 31 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang beriltizam terus mempertahankan kestabilan politik dan kemakmuran di negeri ini pada tahun hadapan.
Menurut satu kenyataan media oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Aspirasi Pahang 1st juga akan terus diperkukuh sebagai teras utama pentadbiran dan pembangunan negeri ini.
“Memasuki tahun 2026, Kerajaan Negeri beriltizam untuk terus mempertahankan kestabilan politik sedia ada serta menolak sebarang bentuk perpecahan yang boleh menggugat kemakmuran negeri.
“Gagasan Aspirasi Pahang 1st akan terus diperkukuh sebagai teras utama pentadbiran dan pembangunan negeri. Prinsip Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan akan diterjemahkan melalui dasar, program dan tindakan yang nyata.
“Tahun 2026 juga akan menyaksikan usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkasa ekonomi rakyat, mencipta peluang pekerjaan, memperkukuh syiar Islam, memelihara alam sekitar serta meningkatkan kecekapan tadbir urus,” katanya.
Beliau turut melahirkan kesyukuran dengan pelbagai kejayaan dan warna-warni yang ditempuhi sepanjang tahun ini hasil kestabilan politik dan perpaduan rakyat.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat-Nya, kita melabuhkan tirai tahun 2025 dengan penuh warna-warni dan melangkah ke tahun 2026 dengan penuh keinsafan, harapan dan tekad yang teguh.
“Tahun 2025 menyaksikan pelbagai kejayaan, cabaran dan ujian berjaya diharungi hasil daripada kestabilan politik dan perpaduan rakyat.
“Kestabilan ini membolehkan Kerajaan Negeri Pahang mentadbir secara konsisten, melonjak ekonomi negeri serta melaksanakan dasar dengan berkesan serta memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menyeru rakyat di negeri ini untuk memasuki tahun baharu 2026 dengan azam yang kukuh demi masa hadapan Negeri Pahang.
“Marilah kita melangkah ke tahun 2026 dengan azam yang kukuh demi masa depan Negeri Pahang yang aman, makmur dan sejahtera serta dirahmati Allah SWT. Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026,” katanya. -PAHANGMEDIA

