Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 26 DISEMBER 2025 : “Seronoklah, terima kasih kepada MB (Menteri Besar Pahang),” kongsi Puan Sakinah Abdullah yang merupakan penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) Kuota Orang Asli Fasa 6 Tahun 2025 hari ini.
Puan Sakinah, 60, dari Kampung Orang Asli Pantos mewakili suaminya, Encik Johan Ngai, 60, yang mengalami strok melahirkan rasa lega apabila rumah baharu ini dapat menggantikan rumahnya yang berada di kawasan tanah runtuh.
“Atas rumah tu runtuh, bukit runtuh, ada lumpur, ada air, sebab tu lah orang ganti rumah saya baru, tapak lain.

“Orang pun tengok semua takut, kita tidur je, terpaksa sebab dah rumah saya itu. Kalau dah hujan, kita semua takut. Orang lain semua lari tapi kita ke mana nak lari sebab suami saya sakit. Rasa lega sikit lah kalau hujan,” katanya.
Sementara itu, bagi Encik Jerry Rosman, 21, dari Pos Telanok yang juga merupakan pelajar tahun pertama di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melahirkan rasa bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada dirinya dan rakan-rakan dalam menyambung pelajaran.
“Saya gembira dan bersyukur sebab dapat bantuan daripada Kerajaan Negeri. Ini dapat memudahkan saya untuk melakukan assignment dan kerja-kerja kursus saya.

“Berdebar sebenarnya sebab sebelum ni tak pernah berjumpa dengan MB. Jadi bila dapat jumpa dengan MB ni rasa gembira sebab dia sendiri yang bagi laptop.
“Terima kasih kepada YB, kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana sudi memberi laptop ni kepada saya dan rakan-rakan saya tadi supaya kami dapat meneruskan pelajaran dan dapat berjaya di masa akan datang,” katanya yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah menyampaikan inisitif berkenaan pada Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang – Perkahwinan Kali Pertama Orang Asli, Dividen Projek Tanaman Semula Komersial Orang Asli (TSKOA), serta Bantuan Rumah Rakyat Pahang (Kuota Orang Asli) di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, FELDA Sungai Koyan 1 hari ini. -PAHANGMEDIA

