Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : S.Prathap
BENTONG, 15 DISEMBER 2025 : Intervensi positif bermula dari peringkat awal pendidikan perlu dilakukan bagi memastikan para pelajar dapat lebih menguasai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, tumpuan harus diberikan sejak di peringkat asas lagi terutamanya bidang matematik.
“Perlu ada intervensi positif di peringkat bangku sekolah, yang mana asas pendidikan pelajar-pelajar itu penting. Pertama sekali dalam bidang matematik, kalau mereka tak menguasai bidang matematik secara asasnya saya bimbang mereka tidak dapat meneruskan pelajaran ke peringkat sekolah menengah dan seterusnya ke universiti untuk bidang STEM.
“Oleh itu, tumpuan kita harus berada di peringkat asas, di peringkat bangku sekolah yang awal, seawal peringkat sekolah rendah, kalau boleh awal lagi di peringkat prasekolah.
“Ini untuk memastikan mereka (pelajar) ada kekuatan asas dalam bidang yang berkait dengan STEM dan membolehkan mereka maju ke peringkat seterusnya,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus peluang pekerjaan berasaskan bidang STEM untuk mencapai status negara maju, beliau berkata ia perlu dilakukan secara berperingkat.
“Kemahiran bidang STEM ini berhubung kait dengan kemajuan ekonomi dan juga tahap daya saing kita di peringkat antarabangsa. Contohnya, zaman sekarang kita menghadapi cabaran kecerdasan buatan AI, internet kebendaan, quantum computing, dan macam-macam lagi. Teknologi yang begitu kompleks itu sukar untuk orang ramai fahami.
“Untuk itu kita juga tidak boleh ketinggalan dalam arena ini. Kita perlu melatih bakat STEM untuk menguasai teknologi-teknologi baru ini supaya Malaysia sebagai sebuah negara tidak ketinggalan di masa hadapan dan tidak bergantung harap kepada teknologi import.
“Malah kita mempunyai tenaga mahir sendiri yang boleh memacu pembangunan ekonomi Pahang dan Malaysia ke hadapan. Untuk mencapai 70 peratus dalam masa singkat mungkin agak sukar, kita kena buat secara berperingkat. Mungkin kalau dari berbelasan peratus ke 20, 30, seterusnya 40 dan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah dan Pencapaian STEM SK Felda Mempaga 2 di Dewan Medusa Ibnu Sina hari ini. -PAHANGMEDIA

