Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 13 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Ibu Tunggal Negeri Pahang sebagai tanda sokongan dan komitmen berterusan terhadap mereka.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, ini menunjukkan Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited terhadap kebajikan dan pemerkasaan wanita khususnya ibu tunggal.
“Alhamdulillah, dengan peruntukan ini telah menunjukkan bahawa hasil YAB Menteri Besar Pahang (Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) tidak meminggirkan wanita-wanita apa sahaja status termasuk ibu tunggal.
“Kita tengok di bawah Aspirasi Pahang 1st, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk wanita termasuklah ibu tunggal.
“InsyaAllah sekiranya ada apa-apa lagi keperluan, saya rasa Kerajaan Negeri tidak akan menolak permohonan dipohon oleh Persatuan Ibu Tunggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Sempena Perhimpunan Ibu Tunggal Negeri Pahang, selaku wakil rasmi kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan agenda pembangunan rakyat tidak dapat dilaksanakan tanpa sokongan rakyat khususnya dari golongan wanita dan ibu tunggal.
“Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang turut menegaskan bahawa kejayaan agenda pembangunan rakyat tidak dapat dilaksanakan secara berkesan tanpa sokongan padu rakyat, khususnya golongan wanita dan ibu tunggal.
“Sokongan puan-puan kepada Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini kepada kestabilan, kesinambungan dasar dan keupayaan kerajaan untuk terus merangka serta melaksanakan program kebajikan, pemerkasaan ekonomi dan pembangunan sosial untuk rakyat.
“Apabila kerajaan yang stabil diberi kepercayaan, maka usaha membantu ibu tunggal, membela nasib wanita dan membina masa depan anak-anak Pahang dapat diteruskan secara konsisten, terancang dan berimpak tinggi,” katanya. -PAHANGMEDIA

