Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Pahang telah melaksanakan 189 program Kempen Internet Selamat melibatkan 50,490 orang setakat November lepas.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, 25 daripada program tersebut memfokuskan audiens dewasa dan warga emas.
“Kerajaan Pahang melalui kerjasama dengan SKMM telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah kerangka literasi digital dan keselamatan siber yang memberi fokus kepada komuniti setempat, termasuk warga emas, bagi meningkatkan tahap celik teknologi maklumat (IT) di kalangan masyarakat.
“Melalui program Kempen Internet Selamat (KIS), pelajar sekolah rendah dan menengah, remaja, belia, orang dewasa termasuk warga emas diberi pendedahan tentang cara menggunakan internet secara bertanggungjawab dan selamat, termasuk mengenal pasti taktik penipuan dalam talian seperti scam panggilan, mesej palsu, dan pautan berbahaya,” katanya.
Beliau berkata pihak SKMM turut menganjurkan sesi latihan asas Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada warga emas selain hebahan radio.
“Selain itu, SKMM turut menganjurkan sesi latihan asas Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk warga emas yang membolehkan mereka mempelajari penggunaan telefon pintar, aplikasi komunikasi serta langkah-langkah keselamatan digital dengan lebih berkesan melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang terdapat di seluruh Dewan Undangan Negeri di Pahang.
“Malah, SKMM turut melakukan hebahan kempen melalui media termasuk slot temuramah radio di Pahang FM. Melalui inisiatif ini, masyarakat Pahang diharap lebih celik IT, berwaspada dan berdaya tahan, sekali gus menikmati manfaat teknologi tanpa terdedah kepada ancaman siber atau penipuan atas talian,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam menyebarkan kesedaran, memperkukuh literasi digital, dan melaksanakan inisiatif pencegahan penipuan atas talian.
“InsyaAllah, Kerajaan Negeri Pahang akan terus komited untuk bekerjasama dengan SKMM, agensi kerajaan persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO), serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyebarkan kesedaran, memperkukuh literasi digital dan melaksanakan inisiatif pencegahan penipuan atas talian.
“Melalui kerjasama ini, diharapkan semua lapisan masyarakat, khususnya warga emas, dapat menikmati manfaat teknologi digital dengan selamat, berwaspada dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkasa rakyat Pahang yang celik teknologi dan progresif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, YB Tuan Haji Mohd Tarmizi Yahaya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

