Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 DISEMBER 2025 : Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor bagi pembinaan Jalan Pintasan Cameron Highlands Fasa 1B berjumlah RM480 juta dengan tempoh pembinaan selama 42 bulan dijangka akan dikeluarkan pada Januari hadapan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, projek ini telah diluluskan di bawah Rolling Plan 3, RMKe-12 Kementerian Kerja Raya (KKR) melibatkan kaedah pelaksanaan secara reka dan bina.
Beliau berkata, objektif utama projek ini adalah untuk mengurangkan masalah kesesakan trafik dan meningkatkan tahap perkhidmatan di kawasan tertentu dengan menyediakan sistem penyuraian trafik serta laluan alternatif yang efisien.
“Skop utama projek adalah membina jalan baharu 2 lane single carriageway dari Royal Lily ke Padang Golf sepanjang 3.3 kilometer (km) termasuk dedicated ramp dengan piawaian R5; menaik taraf Jalan FT59 sepanjang 1.2 km dan Jalan FT434 Jalan Griddle sepanjang 1.5 km kepada one way loop di Padang Golf dengan piawaian R5.
“Menaik taraf Jalan FT59 daripada two lane single carriageway kepada 4 lane dual carriageway sepanjang 0.5 km dari one way loop di Padang Golf ke one way loop Brinchang dengan piawaian R5; menaik taraf dua jambatan di Jalan FT59 dan menaik taraf dua jambatan di Jalan FT434 (Jalan Griddle) dengan piawaian R5; menaik taraf Jalan FT59 daripada two lane single carriageway kepada 4 lane dual carriageway sepanjang 2.0 km dari Time Tunnel ke Kea Farm dengan piawaian R5.
“Menaik taraf Jalan FT59 daripada two lane single carriageway kepada 4 lane dual carriageway sepanjang 1.0 km bermula dari one way loop Kea Farm ke Seksyen 70.8 dengan piawaian R5; pembinaan satu jejantas pejalan kaki; pemasangan lampu jalan; sistem perparitan; pemasangan perabot jalan; kerja geoteknik; pengalihan utiliti; pengambilan tanah dan bangunan; perlindungan alam sekitar dan ukur halus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB. Tuan Ho Chi Yang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Menurut beliau, cadangan konsep jajaran projek ini telah dibentangkan dan dipersetujui oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Cameron Highlands serta mendapat persetujuan bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Negeri, Jabatan Teknikal dan syarikat utiliti berkaitan.
“Merujuk kepada Makmal Pengurusan Nilai Peringkat Kajian Nilai yang dilaksanakan pada 25 hingga 27 Julai 2023, analisa matriks penilaian menunjukkan bahawa jajaran jalan yang dicadangkan merupakan opsyen terbaik berdasarkan kepada justifikasi berikut iaitu kos pelaksanaan projek; kebolehbinaan (workability) dan kefungsian (functionality).
“Gradient rekabentuk jalan yang minımum; pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar pada kadar yang minimum dan terkawal; kesinambungan kepada Projek Pembinaan Jalan Pintasan Cameron Highlands: Menaik Taraf Jalan Dari Bulatan McDonald’s Ke Persimpangan Brinchang/Time Tunnel (FT59) dan Membina One-Way Loop Di Kea Farm, Cameron Highlands, Pahang (Fasa 1A) yang kini dalam peringkat pembinaan,” katanya.
Tambah beliau, hasil libat urus bersama Pihak Berkuasa Tempatan, Pertubuhan Bukan Kerajaan, jawatankuasa penduduk dan pengusaha hotel serta resort yang terlibat pada 7 Februari 2025, 25 April 2025 dan 17 Julai 2025 telah bersetuju dengan tiga perkara.
“Walk way sedia ada di Jalan FT434 atau di sekeliling padang golf dikekalkan atau dibina semula bagi tujuan riadah; rekabentuk konsep pelebaran Jalan FT434 yang optimum bagi mengurangkan kerja tanah, kacau ganggu cerun sedia ada serta mengelakkan pengambilan tanah milik persendirian, kawasan padang golf dan bangunan kediaman terlibat; dan penyediaan noise barrier terutamanya di hadapan Golf Villa Townhouse.
“Sesi libat urus ini juga akan diadakan dari masa ke semasa mengikut peringkat pelaksanaan projek bagi meningkatkan lagi keberkesanan dan ketelusan penyampaian maklumat projek di samping memastikan situasi menang-menang kepada semua pihak,” katanya. -PAHANGMEDIA

