Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 10 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memberi pengiktirafan tertinggi kepada Jabatan Negeri, Agensi dan Badan Berkanun melibatkan kecemerlangan dalam tadbir urus di negeri ini melalui Anugerah Pahang 1st.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, penghargaan tersebut merupakan pemangkin untuk menyemarakkan semangat motivasi semua penjawat awam dalam mendorong kejayaan pada masa akan datang.
“Saya percaya penghargaan ini bukan sekadar simbol kejayaan, tetapi pemangkin untuk menyemarakkan lagi motivasi semua penjawat awam dalam membudayakan persaingan sihat, memperkukuh profesionalisme, memantapkan kualiti penyampaian perkhidmatan, serta mendorong lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pahang 1st 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, di sini semalam.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Pada majlis berkenan, Pahang Skills Development Center telah berjaya merangkul Anugerah YAB Menteri Besar Pahang dengan membawa pulang RM50,000.
Selain itu, Pahang Skills Development Center turut memperolehi pingat platinum bagi Anugerah Pentadbiran Cemerlang (APEC) Pahang 1st bagi tahun 2024.
Kesemua hadiah tersebut disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang pada majlis anjuran Kerajaan Negeri Pahang menerusi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan PahangGo. -PAHANGMEDIA

