Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM21.04 juta bagi pembangunan sukan termasuk pembangunan atlet negeri dalam pelbagai acara.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri Pahang turut memberi pengiktirafan kepada atlet muda yang membawa nama negeri dalam pertandingan.
“Di bawah Majlis Sukan Pahang, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM21.04 juta untuk pembangunan sukan termasuk pembangunan atlet negeri dalam pelbagai acara.
“Bagi memberi pengiktirafan kepada atlet muda yang membawa nama Negeri Pahang ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Kerajaan Negeri menyediakan RM450,000 melalui inisiatif Atlet Makmur Pahang,” katanya.
Beliau berkata bagi memperkukuh komuniti FELDA, Kerajaan Negeri Pahang memperuntuk RM5 juta bagi pelbaga pelaksanaan program di kawasan FELDA di negeri ini.
“Bagi memperkukuh kesejahteraan warga FELDA, Kerajaan Negeri melalui Sekretariat Muafakat FELDA Pahang memperuntukkan RM5 juta untuk pelaksanaan program seperti Jelajah Klinik Tok Wan, Kembara Muafakat FELDA Pahang, Sumbangan Makmur serta Program Pembangunan Pendidikan FELDA.
“Program-program ini berperanan sebagai jambatan antara warga FELDA dan Kerajaan Negeri bagi memastikan kemakmuran komuniti FELDA terus berkekalan,” katanya.
Sementara itu, bagi pembangunan bakat kreatif, peruntukan sebanyak RM300,000 diberikan bagi menggalakkan penciptaan karya kreatif digital.
“Bagi menggalakkan penciptaan karya kreatif digital serta penglibatan anak muda dalam industri media sosial dan kreatif, Kerajaan Negeri meneruskan program Karya Anak Pahang dan Dana Media Kreatif dengan peruntukan RM300,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

